Tak mampu sewa ambulans, bapa gendong jenazah bayi naik motosikal sejauh 70km
Tak mampu sewa ambulans, bapa gendong jenazah bayi naik motosikal sejauh 70 km
JAKARTA – Seorang lelaki di wilayah Sulawesi Selatan terpaksa membawa pulang mayat bayinya yang baru dilahirkan menggunakan motosikal kerana tidak mempunyai wang untuk menyewa ambulans, lapor laman berita Suara.com semalam.
Asdar, 29, dilaporkan membawa mayat bayinya dari daerah Bone ke daerah Sinjai dengan jarak sekitar 70 kilometer (km) selepas dilahirkan dalam keadaan pramatang.
Dia dikatakan menggendong mayat tersebut sambil membonceng motosikal dengan bantuan abangnya.
Menurutnya, dia pada ketika itu hanya mempunyai wang berjumlah 600,000 rupiah (RM174.94), sedangkan harga sewa sebuah ambulans adalah 700,000 rupiah (RM204.10).
Disebabkan hanya mempunyai wang sebanyak itu, Asdar merayu agar pihak hospital memberi kelonggaran kepadanya memandangkan jenazah bayinya perlu dikebumikan segera kerana waktu ketika itu adalah pukul 9 malam (waktu tempatan).
Bagaimanapun, pihak hospital berkata, jumlah wang sewaan tersebut telah ditetapkan dan mengikut peraturan hospital. Ia membuatkan Asdar tidak mempunyai pilihan lain selain membawa mayat bayinya menggunakan motosikal.
Selepas kejadian itu menjadi tular, pihak Hospital Datu Pancaitana daerah Bone mengeluarkan kenyataan dengan berkata bahawa terdapat salah komunikasi antara petugas hospital dan Asdar.
Pihak hospital mendakwa bahawa mereka telah bersetuju untuk melonggarkan jumlah pembayaran sewa yang sepatutnya berjumlah 700,000 rupiah (RM204.10), namun lelaki itu menolak tawaran tersebut.
Pemandu kereta jenazah juga didakwa sempat mengejar motosikal Asdar, namun lelaki itu meminta agar mayat anaknya dibawa sendiri menggunakan motosikal.
Sumber: AGENSI