TAHAN MIANG BULUH UNTUK JANA PENDAPATAN
TAHAN MIANG BULUH UNTUK JANA PENDAPATAN
JERANTUT: Sepasang suami isteri dari Kampung Batu Balai, Jerantut, di sini, mereka sudah lali dengan miang buluh lemang yang dicari di sekitar hutan di kampungnya untuk dijual di pasar Jerantut sebagai menjana pendapatan sampingan menjelang hari raya Aidil Fitri.
Peniaga buluh lemang itu, Kamaruzaman Ahmad, 40 tahun berkata, setiap jualan buluh lemang 3 hingga 4 hari sebelum hari raya mendapat sambutan menggalakkan, malah kadang kala bekalan tidak mencukupi.
“Saya sudah menjual beberapa tahun buluh lemang, daun lerek dan daun pisang, setiap batang buluh berukuran antara 60 sentimeter (sm) hingga 80sm berharga RM2 dan jika siap dibasuh dan dimasukkan daun lerek berharga RM4.
“Ada ketika jualan kami mencecah 1000 batang menjelang hari raya, Alhamdulillah jualan ini sudah menjadi pendapatan sampingan kami sekeluarga menjelang raya untuk perbelanjaan sekeluarga,”katanya ketika ditemui di sekitar pasar Jerantut, hari ini.
Kata Kamaruzaman, dia mendapat tahu orang ramai banyak mencari buluh lemang menjelang hari raya, kesukaran mendapatkan bekalan mencetus idea untuk saya memenuhi permintaan pelanggan semasa musim perayaan.
“Ada juga mendapat tempahan daripada penjual lemang bakar untuk membekalkan buluh lemang kepada pengusaha itu, paling banyak tempahan diterima seminggu atau dua minggu sebelum hari lebaran sehingga menjangkau 1,000 batang buluh.
Isterinya, Norzainita Zakaria, 37, berkata, hanya bermodalkan kegigihan dan ketahanan diri meredah hutan buluh dan memerlukan gergaji dan parang untuk mendapatkan bekalan buluh selain mencari daun lerek.
“Selepas menebang buluh muda kami akan memotong mengikut ruas sebelum dibasuh satu persatu menggunakan sabut kelapa supaya miangnya ditanggalkan dan sedia dijual,”katanya.
Katanya, pendapatan itu dapat membantu dirinya sekeluarga dan juga membeli peralatan untuk berhari raya.-SAHIH.