Kerajaan negeri tidak pernah terima permohonan, bincang cadangan pembinaan Taman Tema di Cameron Highlands
Kerajaan negeri tidak pernah terima permohonan, bincang cadangan pembinaan Taman Tema di Cameron Highlands
KUANTAN: Kerajaan Pahang tidak pernah menerima permohonan daripada syarikat yang mendakwa ingin membina taman tema di Cameron Highlands.
Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cadangan pembinaan taman tema itu juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri
“(Perkara itu) tidak betul… tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri pun, tanya Setiausaha Kerajaan negeri (Sallehuddin Ishak), tanya EXCO kerajaan negeri yang lain… tidak pernah dibincangkan dan tidak ada permohonan pun,” katanya ketika diminta mengulas mengenai bantahan dikemukakan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu kerajaan Pahang menolak cadangan membina taman tema di kawasan tanah tinggi berkenaan.
“Bagus juga bila ada NGO bantah, ada peluang untuk kita jawab kalau tidak, kita pun tidak tahu… tapi hakikatnya, perkara ini tidak pernah dibincangkan dalam (mesyuarat) EXCO, tidak ada permohonan dikemukakan kepada kerajaan negeri,” tegasnya.
Wan Rosdy Wan Ismail
Ditanya mengenai status tapak cadangan pembinaan taman tema itu yang dikatakan milik persendirian, Wan Rosdy berkata, mereka tetap perlu mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri.
“Walaupun itu tanah persendirian… tidak bermakna mereka (pemilik) boleh membuka taman tema, selagi tidak mendapat kebenaran kerajaan negeri
“Mereka tetap kena submit (hantar) permohonan.. tanah persendirian tidak bermakna mereka boleh bina kilang senjata api, kilang bom sesuka hati.. even (kalua) tanah sendiri pun, jika ada kayu balak, dia tetap kena dapatkan kebenaran daripada kerajaan negeri sebelum mengeluarkan hasil (kayu balak) itu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan cadangan membina taman tema di lokasi peranginan bertemakan ski bernilai RM100 juta di kawasan seluas 60 ekar di Cameron Highlands mendapat bantahan berikutan kesannya terhadap alam sekitar.
Laporan itu menyebut, pada awal Ogos, pemaju taman tema Sim Leisure Group dilaporkan berhasrat membina sebuah taman tema bernama “ESCAPE Cameron Highlands”.- SAHIH