Peniaga wanita rugi hampir RM200,000
Peniaga wanita rugi hampir RM200,000
MARAN: Seorang peniaga wanita berusia 50 tahun menanggung kerugian hampir RM200,000 selepas terpedaya dengan iklan ‘borong buah’ di Facebook yang memintanya memuat turun fail aplikasi (APK) mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, mangsa memuat turun fail berkenaan pada 3 Ogos lalu selepas melihat iklan promosi di laman media sosial terbabit.
Menurutnya, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon yang tertera pada iklan dan diminta mengisi maklumat peribadi serta membuat bayaran penghantaran berjumlah RM141.60.
“Namun, pada 6 Ogos, mangsa dimaklumkan pihak bank bahawa berlaku transaksi mencurigakan daripada akaun miliknya.
“Siasatan awal mendapati sebanyak RM109,991.80 telah dipindahkan ke tujuh akaun bank berbeza,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, akaun simpanan bersama milik mangsa dan suami turut diceroboh, menyebabkan wang berjumlah RM89,996.94 dipindahkan menerusi tujuh transaksi.
“Jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa adalah RM199,988.74 yang merupakan wang simpanan peribadi serta milik bersama suami,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Wong menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran mencurigakan yang diterima melalui media sosial.
“Jangan sesekali memuat turun fail atau aplikasi dari sumber tidak sah dan jangan dedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada individu tidak dikenali,” katanya.
Orang ramai disaran menyemak nombor akaun atau telefon yang meragukan melalui laman rasmi https://semakmule.rmp.gov.my atau menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk tindakan segera.-SAHIH