Ditetak Ketika Jamu Selera

PONTIAN- Mati ditetak ketika jamu selera di sebuah restoran. Kejadian tersebut berlaku di Pekan Benut, semalam.

Kejadian tersebut tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki ditetak sekumpulan individu lain di restoran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 3.12 petang berhubung kejadian.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, seorang lelaki ditetak oleh sekumpulan individu.

Katanya, menurut saksi, dua lelaki melarikan diri selepas melakukan jenayah itu, dengan menaiki Toyota Alphard berwarna putih dengan bernombor pendaftaran JST 6816.

“Mangsa berusia 40 tahun, parah, dipercayai kerana ditetak dengan senjata parang di beberapa bahagian tubuhnya dan dia dibawa ke Hospital Pontian untuk rawatan lanjut, ” katanya.

Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup di restoran menunjukkan kejadian.

Bagaimanapun katanya, semakan mendapati kenderaan dinaiki suspek dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Orang awam yang melihat kejadian itu supaya tampil menyalurkan maklumat di balai polis berdekatan atau hubungi 013-7145506,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Video/gambar: Media sosial