‘Terima kasih MB bantu beli kaki palsu’ Ketua peneroka wakili penerima bantuan perubatan khas

‘Terima kasih MB bantu beli kaki palsu’
Ketua peneroka wakili penerima bantuan perubatan khas

KUANTAN: “Terima kasih banyak kepada Menteri Besar yang prihatin, sumbangan ini sangat bermakna untuk peneroka kami,” kata Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Jerantut, Razak Daud selepas menerima bantuan Kerajaan Negeri bagi pembelian kaki palsu seorang penduduk Felda.

Aripin Muhammad menunjukkan surat sumbangan kaki palsu yang diterimanya daripada Kerajaan Negeri Pahang. SAHIH/IHSAN PEMBACA

Menurutnya, beliau mewakili peneroka Aripin Muhammad untuk memohon peruntukan khas bagi menampung kos pembelian kaki palsu, dan bersyukur apabila permohonan itu diluluskan.

“Alhamdulillah hari ini kita sudah dapat sumbangan itu. Ini menunjukkan keprihatinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang tidak pernah mengecewakan rakyat, khususnya peneroka Felda,” katanya.

Razak berkata, bantuan itu membuktikan kepimpinan kerajaan negeri sentiasa menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang dan lokasi, termasuk kawasan tanah rancangan.

Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud (tengah) menyerahkan bantuan Kerajaan Negeri Pahang kepada peneroka, Aripin Muhammad (duduk) bagi pembelian kaki palsu dalam satu kunjungan di rumah penerima. SaHIH/IHSAN PEMBACA

Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan, Anisah Sidek, 54, dari Taman Sungai Isap Perdana, meluahkan rasa syukur apabila menerima sumbangan bagi menampung kos rawatan anaknya, Muhammad Hazim Hafifi Mat, 13, yang menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak usia setahun lebih.

Menurutnya, anaknya perlu menjalani rawatan dialisis darah tiga kali seminggu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, selain memerlukan plaster khas kerana alahan pada kulit.

“Sumbangan ini sangat membantu untuk kos ulang alik ke hospital dan pembelian keperluan ubat. Memang saya sangat memerlukan, terima kasih kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Anisah berkata, sebelum ini anaknya menjalani rawatan cuci air dan beliau menyediakan bilik khas di rumah demi memastikan persekitaran bersih dan selamat.-SAHIH