Bekas tentera maut, kereta bertembung lori

JERANTUT: Seorang bekas anggota tentera maut dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan Jerantut-Benta, tengahari tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengahari itu, mangsa, Zulhisham Azhar, 34, maut selepas kenderaan jenis HONDA CRV dipandunya dari arah Pekan Damak menghala Jerantut, dipercayai terbabas sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Turut terbabit dalam kemalangan itu ialah dua lagi kenderaan lain.

Zulhisham yang berasal dari Kampung Perlok, Ulu Cheka, dekat sini, disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan, berkata penumpang kenderaan dipandu Zulhisham, Sidek Keng berusia 59 tahun, turut cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Jerantut untuk rawatan awal sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) bagi rawatan susulan.

“Pemandu lori, Bahari Hamdan, 32 tahun dan pemandu serta penumpang PROTON Waja, Nurhasyimah Abd Manaf dan Noradila Ahmad, kedua-duanya berusia 23 tahun, tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Kes itu akan disiasat mengikut Sek.syen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

#Sahih #YangPastiSahih