Kereta Klon Tersadai – Dua Individu Dicekup Miliki Air Ketum dan Pil Disyaki Dadah
Kereta Klon Tersadai – Dua Individu Dicekup Miliki Air Ketum dan Pil Disyaki Dadah
TEMERLOH – Seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 25 tahun ditahan polis ketika menaiki kereta jenis Volkswagen Jetta dipercayai kenderaan klon dalam satu operasi cegah jenayah di Jalan Tengku Ismail, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 10.30 pagi selepas kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dikesan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati nombor casis dan enjin kenderaan itu tidak mempunyai sebarang rekod pendaftaran sah daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala nombor pendaftaran yang digunakan disyaki palsu.
“Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk 81 biji pil dalam bekas plastik biru, dua botol berisi cecair disyaki air ketum, sebilah gunting kecil, dua unit pemotong tali, satu mata gergaji, tali sawat dan alat pengunci,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif methamphetamine manakala wanita berkenaan negatif dadah. Kedua-duanya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Mazlan berkata, kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Temerloh.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun,” katanya.
Tambah beliau, semua barangan rampasan bersama kedua-dua suspek dibawa ke IPD Temerloh untuk tindakan lanjut.-SAHIH