SELUDUP KETUM GUNA BAS EKSPRES

ALOR SETAR: Tiga lelaki termasuk dua beranak ditahan polis bersama 572 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai kira-kira RM5,000 dalam sebuah bas ekspres di Shahab Perdana di Alor Setar malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, bapa serta anaknya masing-masing berusia 51 dan 26 tahun bersama kenalan mereka berumur 33 tahun itu, ditahan sepasukan polis selepas membuat pemeriksaan dalam bas itu pada jam 8.40 malam.

GAMBAR HIASAN

“Hasil pemeriksaan polis di ruang tempat letak barang bahagian bawah bas, menjumpai tujuh beg kanvas warna coklat, dua beg kanvas warna merah, satu beg kanvas warna hitam, satu beg kanvas warna hijau dan lapan beg plastik sampah warna hitam.

“Pemeriksaan lanjut mendapati setiap beg mengandungi daun ketum yang telah diikat berjumlah keseluruhan 2,149 ikatan dengan anggaran berat 572 kilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.

Ahmad Shukri berkata, lelaki berumur 51 tahun itu merupakan pemandu bas berkenaan dan dia bersama anak lelakinya itu dipercayai terlibat dengan kegiatan penjualan daun ketum tersebut sejak Mac lalu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Soal siasat awal polis mendapati daun ketum yang dirampas itu dipercayai diperoleh dari Kuala Nerang untuk pasaran di negeri sebelah selatan. Sekiranya diproses, boleh membekalkan air ketum kepada hampir 10,000 orang,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata, taktik menggunakan bas ekspres itu untuk membawa bekalan daun ketum berkenaan dipercayai modus operandi terbaharu mereka bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, ketiga-tiga mereka ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000.