WARGA ASING, INDIVIDU BERGEJALA WAJIB SWAB TEST
KUALA LUMPUR: Ujian calitan (swab test) COVID-19 wajib ke atas warga asing yang bekerja di sektor pembinaan dan kawalan keselamatan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.
Bercakap dalam sidang media hariannya, Ismail Sabri berkata individu bergejala turut diwajibkan untuk menjalani ujian calitan berkenaan.
“Bagi pekerja dari zon merah yang perlu bekerja di pejabat, mereka juga amat disarankan untuk menjalani ujian calitan.
“Hal ini untuk memastikan pengesanan awal jangkitan COVID-19 bagi mengelakkan wujudnya kluster baru di tempat kerja,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan kenyataan ahli parlimen Bera semalam bahawa pekerja yang perlu berkerja di pejabat di kawasan zon merah perlu menjalani ujian calitan COVID-19 sempena perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sekarang.
Katanya, jika majikan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kos ujian ditanggung agensi berkenaan.
Terdahulu hari ini, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan mengesahkan bahawa saringan Prihatin PERKESO akan diperluas kepada semua penyumbang di kawasan PKPB di Selangor, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, berkuat kuasa esok.
Majikan yang layak boleh melakukan ujian calitan percuma COVID-19 untuk kakitangan mereka melalui klinik panel yang dilantik PERKESO dengan janji temu dan menyerahkan maklumat lengkap mereka ke klinik panel.
“Proses saringan dapat dilakukan di klinik atau makmal atau dilakukan di tempat kerja. Hanya perbelanjaan untuk ujian yang dilakukan di klinik panel akan ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO,” katanya.
Sementara itu, bagi majikan yang memilih skim subsidi, ujian berkenaan boleh dilakukan di mana-mana makmal selain dari klinik panel.
Bagaimanapun, kos ujian mesti dibiayai oleh majikan terlebih dahulu sebelum pembayaran subsidi dituntut kemudian secara dalam talian dengan menunjukkan resit pembayaran.
Berikutan kelulusan itu, PERKESO akan membuat pembayaran semula sehingga RM150 untuk setiap pekerja yang telah menjalani ujian COVID-19.
Semalam, kerajaan mengeluarkan arahan kerja dari rumah (WFH) melibatkan sejumlah sejuta kakitangan di sektor swasta dan awam di Selangor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Perintah ini bertujuan untuk mengehadkan pergerakan dan hubungan antara pekerja untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
Arahan itu berkuatkuasa di Sabah sehingga 26 Oktober sementara di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berakhir pada 27 Oktober dan di Labuan akan selesai pada 30 Oktober.
Sumber: Malaysiakini