MOHON JAMBATAN BESI LAMA DI SUNGAI JELAI KG GEMUNCHOR DIPINDAHKAN

MOHON JAMBATAN BESI LAMA DI SUNGAI JELAI KG GEMUNCHOR DIPINDAHKAN

LIPIS : Penduduk Kampung Gemuchor dan Kampung Mela mohon saki-baki rangka jambatan besi yang ditinggalkan sejak tujuh tahun yang merintangi Sungai Jelai, dipindahkan dengan segera agar tidak berlaku balak dan kayu serta sampah sarap terkumpul di sekitarnya.

Jambatan besi berusia 10 tahun yang dibina dan digunakan untuk membawa keluar kayu balak oleh pengusaha tersebut, tidak digunakan lagi setelah jambatan konkrit siap pada tahun 2015, tetapi meninggalkan rangka dan ceracak jambatan lama yang masih tersadai dan ditinggalkan di sungai itu.

Penduduk Kampung Mela, Mohd. Safri Salleh, 41, berkata, dia dan penduduk beberapa buah kampung di situ berasa hairan kenapa pengusaha berkenaan tidak membersihkan kerangka jambatan besi yang tersadai di tengah arus sungai itu.

“Sejak jambatan konkrit baharu boleh digunakan pada 2015, struktur permukaan jambatan besi ini masih sempurna dengan dilitupi papan tebal dan besi tebal untuk lori balak melaluinya.

“Ketika banjir pada tahun 2014 dan kejadian banjir berulang setiap tahun, papan tebal dan besi di permukaannya mula dihanyutkan air dan sehingga ini cuma tinggal kerangka tiang dan gelegar masih tersadai di tengah sungai ini,” katanya di Kampung Gemunchor dekat sini hari ini.

Menurut Mohd. Safri, kerangka tiang dan gelegar besi jambatan itu cukup membahayakan kepada bot nelayan sungai dan penduduk ketika membawa hasil kampung yang kerap melalui di kawasan itu termasuk aktiviti menangkap ikan pada waktu malam.

“Kerangka tiang dan gelegar besi yang masih melintang sungai ini menyebabkan banyak sampah-sarap seperti kayu balak dan buluh tersangkut dan membahayakan laluan bot malahan ketika air sungai naik waktu banjir dibimbangi boleh berlaku kemalangan di air,” katanya.

Ketua Kampung Gemuncur, Roslan Idris berkata, dia serta penduduk kampung tersebut berharap kerajaan, Jabatan Alam Sekitar dan pengusaha berkenaan mengalihkan kerangka besi dan gelegar dari sungai berkenaan.

“Harapan kami di sini supaya Sungai Jelai kelihatan bersih tanpa kerangka jambatan besi ini sekali gus dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk mengindahkan persekitaran perairan di sini.

“Usaha untuk mengalihkan kerangka jambatan ini wajar untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini, iaitu kemalangan di air kerana setiap hari termasuk waktu malam bot nelayan sungai dan penduduk kerap melintas di kawasan ini,”katanya.-SAHIH.