FELDA WILAYAH JENGKA KUTIP DERMA TERTINGGI DI PAHANG

PROGRAM FELDA BERSEDEKAH CAPAI SASARAN

JERANTUT: Program FELDA Bersedekah yang dilancarkan Oktober lalu menyaksikan FELDA Wilayah Jengka merekodkan kutipan derma tertinggi di Pahang.

Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, jumlah kutipan direkodkan sepanjang program itu melepasi sasaran awal dan menunjukkan kesepakatan dalam kalangan warga peneroka di tanah rancangan berkenaan.

PENGERUSI BIRO SOSIAL FELDA WILAYAH JENGKA, RAZAK DAUD

“Walaupun program ini bermula dengan pelbagai kontroversi, namun kita bersyukur kerana ia dapat dilaksanakan dengan penuh rasa tanggung jawab dan seterusnya membuktikan idea Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh bukanlah sesuatu yang mustahil.

“Kita harap semangat kekitaan dan persefahaman ditunjukkan antara warga peneroka sepanjang program ini berjalan, dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Program FELDA Bersedekah berjaya mencatatkan kutipan derma kira-kira RM300,000 dengan FELDA Lok Heng Timur, Johor merekodkan kutipan tertinggi, diikuti FELDA Kerteh 2, Terengganu.

PROGRAM FELDA BERSEDEKAH MENDAPAT SOKONGAN DAN KERJASAMA BAIK DARIPADA SEMUA PIHAK

Sementara itu, Razak turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga peneroka yang sudi menyumbang kepada program berkenaan dan mengakui promosi dijalankan dengan kerjasama portal sahih.com.my banyak membantu mereka mengumpul derma berjumlah RM26,120.

“Ini adalah hasil kerjasama baik semua pihak, terutamanya promosi mengenai program FELDA Bersedekah yang dilakukan melalui portal sahih.com.my yang dikendalikan rakan media di Pahang.

“Kami harap lebih banyak kerjasama strategik seperti ini dapat dilakukan pada masa akan datang dan seterusnya membantu meningkatkan semangat warga peneroka di Pahang dan seluruh negara,” katanya.