KEMPEN SEHARI DERMA DARAH DAPAT SAMBUTAN

DERMA DARAH BOLEH MEMBANTU DAN MENYELAMATKAN ORANG LAIN YANG MEMERLUKAN

JERANTUT: Tabung Darah, Jabatan Patologi, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh mendapat sambutan baik semasa kempen sehari derma darah yang diadakan di Dewan Banquet, Majlis Daerah Jerantut, hari ini.

Seramai kira-kira 40 orang penderma daripada kira-kira 60 orang berjaya melepasi pemeriksaan kesihatan dan layak untuk menderma darah sebanyak 300 mililiter (ml) bagi wanita dan 450 ml bagi lelaki serta bergantung kepada berat badan seseorang itu.

Salah seorang penderma wanita sedang menderma darah.

Pegawai Perubatan, Dr. Adilah Ahmad Zafri berkata, kempen derma darah dari jabatannya bergerak antara 10 hingga 15 lokasi sebulan di kawasan Pahang Barat untuk mendapat penderma darah bagi menampung keperluan bekalan darah untuk digunakan di HOSHAS dan hospital kluster seperti Hospital Jerantut dan Jengka.

Katanya, sekiranya ada bekalan lebihan dan keperluan permintaan mendesak  dari hospital lain, HOSHAS turut membekalkannya.

Dr. Adilah Ahmad Zafri memeriksa tahap kesihatan seorang penderma

Penderma, Syafid Iskandar Yusri, 23  berkata, dia sudah menderma sebanyak enam kali dan mengambil peluang kalau dia tahu ada kempen menderma darah serta  menjadikan sebagai satu sumbangan kepada yang memerlukan bekalan darah.

Penderma, Syafid Iskandar Yusri, 23

“Semasa wabak Covid-19 melanda, pastinya pihak hospital memerlukan bekalan darah, oleh itu sumbangan kecil seperti ini dapat menyelamatkan orang lain, kita tidak perlu ke hospital untuk menderma dan kemudahan daripada kempen ini memberi banyak kemudahan, ” katanya.

Seorang penderma, Cheh Yoke Foong,38, berkata, selain  menderma untuk  menyelamatkan nyawa orang lain yang memerlukan, selepas menderma dia berasakan dirinya selesa dan sihat.

Cheh Yoke Foong,38

“Kita jangan berkira, hari ini kita bantu orang lain, di hari lain orang bakal membantu kita, apa salahnya kita sebagai rakyat Malaysia memberi sumbangan kecil seperti ini,”katanya.