Lelaki 44 Rekod Jenayah Dicekup, Miliki Dadah dan Peralatan Curi Kabel

Lelaki 44 Rekod Jenayah Dicekup, Miliki Dadah dan Peralatan Curi Kabel

TEMERLOH – Seorang lelaki berusia 35 tahun yang mempunyai 44 rekod lampau pelbagai jenayah termasuk dadah dicekup polis ketika cuba melarikan diri dalam satu operasi cegah jenayah di Jalan Tengku Ismail, di Temerloh, hari ini .

Dalam kejadian jam 10.35 pagi itu, suspek yang menaiki pacuan empat roda jenis Isuzu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, ketika anggota memperkenalkan diri, lelaki itu memandu secara melulu sebelum terbabas dan berhenti di persimpangan lampu isyarat berhampiran.

“Suspek berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan. Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki terbabit dikehendaki bersabit kes di Sitiawan dan Bentong mengikut Seksyen 43(4) Akta Penjara, Seksyen 186 dan 307 Kanun Keseksaan.

“Suspek juga didapati positif methamphetamine dan memiliki sejumlah dadah disyaki pil kuda serta syabu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis turut menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel dalam bonet belakang kenderaan suspek.

Antara barangan yang dirampas termasuk lebih 300 biji pil disyaki Yaba, ketulan kristal syabu seberat 3.03 gram, tali sawat, alat pembuka penutup lubang pembetungan (manhole), besi cangkuk, pahat, tukul, dan sarung tangan.

TEMERLOH 4 OGOS 2025. Antara peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan mencuri kabel yang dirampas polis daripada seorang lelaki di Jalan Tengku Ismail, Temerloh . FOTO IHSAN PDRM.

“Hasil semakan nombor casis dan enjin mendapati kenderaan yang digunakan adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Kota Bharu,” katanya.

Mazlan berkata, suspek mengaku terlibat dalam beberapa kes curi kabel di Kuala Lumpur, Selangor, Jerantut dan Maran pada Februari lalu.

Kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Temerloh mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.-SAHIH