MISTERI BAU BUSUK TERJAWAB
KOTA KINABALU: Misteri bau busuk membawa kepada penemuan mayat sepasang suami isteri yang dipercayai membunuh diri sejak tiga hari lalu di rumah mereka di Taman BPL, Luyang, di sini, malam tadi.
Mayat pasangan berusia 46 dan 37 tahun itu ditemui jam 9.10 malam selepas jiran mangsa membuat laporan polis berikutan bau busuk dari dalam rumah berkenaan.
ASISTEN KOMISIONER HABIBI MAJINJI
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata berdasarkan laporan yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota polis dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
Katanya, sebaik tiba, rumah mangsa didapati berkunci sehingga memaksa polis menggunakan tangga untuk melihat persekitaran dalam rumah menerusi tingkap.
“Hasil pemeriksaan, mendapati terdapat dua orang terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai sudah meninggal dunia.
“Pegawai penyiasat kemudiannya terpaksa mendapatkan bantuan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memecahkan pintu rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi BH Online hari ini.
Habibi berkata, pasukan paramedik jabatan kesihatan yang turut tiba di lokasi kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia dipercayai membunuh diri.
Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah boleh dikaitkan sebagai punca kematian kedua-dua mangsa.
“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui sejenis cecair racun berhampiran pasangan terbabit yang dipercayai diminum oleh kedua-dua mangsa.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) namun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Difahamkan, pasangan terbabit mempunyai seorang anak lelaki berusia 16 tahun dan sebelum kejadian anak mangsa dibawa ke rumah nenek mereka di Luyang.