Video Bantuan AI Palsu, Dr. Fatah Buat Laporan Polis


Video Bantuan AI Palsu, Dr. Fatah Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR – “Saya tidak pernah menjanjikan sebarang bentuk bantuan kepada orang awam.”

Itu penegasan Datuk Seri Dr. Fatah yang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau menawarkan bantuan kewangan menerusi pelbagai platform media sosial seperti TikTok, YouTube dan Facebook.

Menurut beliau, video tular yang memaparkan dirinya menjanjikan pelbagai sumbangan kepada masyarakat sebenarnya merupakan hasil manipulasi teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya ingin tegaskan bahawa ada individu telah menyalahgunakan nama dan wajah saya untuk mencipta video palsu bertujuan memperdaya orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kelana Jaya pada 3 Ogos lalu, selain turut mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk siasatan lanjut.

Fatah berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan lebih ramai orang menjadi mangsa penipuan dan bagi melindungi reputasi beliau daripada terus tercemar.

“Saya tidak pernah membuat sebarang tawaran bantuan, sama ada secara peribadi mahupun melalui mana-mana organisasi di bawah naungan atau kendalian saya,” katanya lagi.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan video palsu berasaskan AI yang semakin banyak disebarkan di internet ketika ini.

“Saya menghargai semua pihak yang tampil bertanya kesahihan kandungan video tersebut. Teruskan peka dan jangan mudah percaya dengan kandungan yang meragukan di media sosial,” ujarnya.-SAHIH