TERSEREMPAK AMBULAN TANPA PEMANDU
TERSEREMPAK AMBULAN TANPA PEMANDU: BERSELISIH KETIKA DI LALUAN ROMPIN PEKAN
ROMPIN: Seorang pengguna jalan raya mendakwa berselisih dengan sebuah ambulan tanpa pemandu di laluan Rompin-Pekan, dekat sini, hujung minggu lalu.
Perkongsian pengguna jalan raya itu yang dipaparkan pada laman sosial FACEBOOK Warga Kuantan Official kira-kira jam 3.30 pagi, Ahad lalu dan mendapat pelbagai reaksi netizen.
Berdasarkan POSTING berkenaan, pemandu kenderaan itu mendakwa pada awalnya ternampak ambulan terbabit tersadai di tepi jalan tanpa pemandu.
“Beberapa minit kemudian, ambulan sama berada di depan kereta dan dia cuba memotong ambulan berkenaan.
“Sebaik sahaja melintasi ambulan itu, dia sempat menoleh untuk melihat ke arah ambulan terbabit dan mendapati ambulan itu bergerak tanpa pemandu sebelum memecut laju,” demikian mengikut POSTING terbabit.
Dakwanya lagi, pemandu itu ada membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan termasuk menyertakan gambar dan video kejadian misteri itu kepada pihak berkuasa.
Namun pihak polis ketika dihubungi memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan insiden itu.