Tadbir urus cemerlang Wan Rosdy terbukti
Tadbir urus cemerlang Wan Rosdy terbukti
KUANTAN – Kerja keras dan kecekapan tadbir urus oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyaksikan negeri itu kekal memperoleh kutipan hasil melebihi RM1 bilion buat kali ketiga berturut-turut.
Sebagai ‘hadiah’ kepada penjawat awam Pahang yang banyak membantu kerajaan negeri, Wan Rosdy hari ini mengumumkan pemberian bonus sebulan setengah gaji.
Keputusan pemberian bonus itu adalah bukti bahawa Wan Rosdy sangat menghargai pasukan penjawat awam di Pahang.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, pengagihan bonus seperti diumumkan Menteri Besar Pahang ketika pembentangan Belanjawan Pahang 2025 sangat ditunggu-tunggu oleh warga penjawat awam di negeri ini.
“Setiap tahun sejak Wan Rosdy memegang jawatan sebagai Menteri Besar, beliau sentiasa memberi imbuhan atau bonus kepada penjawat awam kerajaan negeri.
“Ini menunjukkan kecekapan pengurusan dimiliki Datuk Seri Menteri Besar dalam memastikan kutipan hasil melepasi sasaran ditetapkan.
“Paling penting, peningkatan kutipan hasil ini tidak membebankan rakyat secara umumnya,” katanya.
Razak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung berharap pemberian insentif dalam bentuk bonus itu dapat digunakan sebaik mungkin oleh penjawat awam di Pahang.
“Seperti yang sentiasa dimaklumkan oleh Menteri Besar Pahang, setiap hasil diperoleh akan diagihkan semula kepada rakyat.
“Saya melihat Datuk Seri Wan Rosdy adalah seorang yang kuat bekerja dan sangat teliti dalam menjalankan setiap urusan negeri Pahang.
“Disebabkan sikap beliau, saya yakin bahawa Pahang akan terus mencatatkan lebih kejayaan membabitkan pelaburan asing dan penambahbaikan infrastruktur demi kesejahteraan ekonomi negeri ini,” katanya. – SAHIH