Tabung infak Surau Hayatul Islam dilancar sempena Ramadan 2026
Tabung infak Surau Hayatul Islam dilancar sempena Ramadan 2026
SERI AMAN – Sempena kedatangan Ramadan 2026, Jawatankuasa Surau Hayatul Islam Kampung Hulu melancarkan Tabung Infak bagi menjayakan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan sepanjang tahun ini.
Pengerusinya, Laupall Bujang berkata, pelancaran tabung berkenaan dibuat berikutan kedudukan kewangan surau yang kini berada pada tahap kritikal dan memerlukan sokongan orang ramai.

Menurutnya, dana yang dikumpulkan akan digunakan bagi menampung perbelanjaan penganjuran ceramah agama, kelas pengajian al-Quran, kelas fardu ain untuk kanak-kanak serta pengajian khas untuk golongan dewasa di kampung berkenaan.
“Besar harapan kami agar ada insan dan dermawan yang sudi menghulurkan sumbangan bagi memastikan segala perancangan aktiviti surau dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Segala sumbangan tuan-puan kami dahului dengan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih,” katanya ketika ditemui di sini.

Aktiviti Tadarus yang diadakan di surau tersebut.
Beliau berkata, pihak jawatankuasa komited untuk terus mengimarahkan surau sebagai pusat penyatuan masyarakat serta platform pembangunan rohani dan sahsiah kariah setempat.
Orang ramai yang berhasrat menyumbang boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Rakyat atas nama Jawatankuasa Pengurusan Surau Hayatul Islam Kampung Hulu, Sri Aman (No Akaun: 11 00 90 25 24).
Jawatankuasa surau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menyokong usaha memakmurkan institusi surau demi kesejahteraan ummah.-SAHIH.
