Syarikat EGO bina kilang pembuatan berasaskan minyak sawit terbesar di Pahang
Syarikat EGO bina kilang pembuatan berasaskan minyak sawit terbesar di Pahang
JERANTUT – Kilang Kelapa Sawit Jerantut (KKSJ) mengorak langkah dengan membina sebuah kilang pemprosesan produk untuk minyak masak serta pengeluaran barang makanan termasuk makanan haiwan dan keperluan rumah.
Kilang tersebut dibina dengan kos kira-kira RM100 juta di atas kawasan seluas 7.6 hektar (14.5 ekar) dijangka boleh beroperasi kira-kira 24 bulan akan datang.
Selain memiliki kilang memproses minyak sawit mentah sedia ada, pembinaan kilang baharu itu terletak bersebelahan dan ini mengurangkan kos pengangkutan selain dilengkapi dengan makmal ujian, pemprosesan produk dan pembungkusan sebelum dipasarkan.
Pengerusi Eksekutif, Empire Golden Oil Refinenary (EGO) Sendirian Berhad berkata, kilang ini akan memproses minyak sawit mentah (CPO) seberat 900 tan metrik sehari untuk menghasilkan produk komersial seperti makanan, keperluan rumah dan sebagainya.
“Produk daripada kilang EGO akan dipasarkan di Pahang dan seluruh negara selain akan dieksport ke negara China, India, Arab Saudi, Afrika Selatan dan Asia Tenggara menerusi pembekal di sana.
“Selain itu EGO juga mensasarkan akan menawarkan kira-kira 200 pekerjaan untuk penduduk tempatan pelbagai peringkat yang secara langsung membantu kerajaan menawarkan pekerjaan kepada orang ramai,” katanya selepas Perasmian Pecah Tanah Kilang Penapis Minyak Sawit EGO, di Jeransong, dekat sini, hari ini.
Katanya, sehingga ini sebanyak 150 pengusaha ladang sawit termasuk di bawah pengurusan Risda telah menghantar sawit ke KKSJ termasuk ladang milik syarikat ini untuk diproses dijadikan minyak mentah dengan penawaran harga yang lebih baik berbanding di tempat lain,” katanya
“Pihak kami akan mengadakan perjanjian persefahaman dengan Risda Plantation dalam masa terdekat bagi memeterai kerjasama penjualan buah sawit untuk diproses di KKSJ sekali gus minyak sawit mentah menjadi bahan utama untuk menghasilkan produk di kilang EGO Sdn Bhd,” katanya.-SAHIH.