DARI RUMAH KE LOT KEDAI
JERANTUT: Kalau sudah rezeki tidak ke mana, bermula dengan pelbagai pekerjaan berasas makanan yang diusaha di rumah, kini Suya Bakery boleh berdiri teguh dengan membekal makanan kek dan roti di daerah ini.
Pengurusnya, Mohd Muzzammil Roslee (35) berkata, Suya Bakery yang bermula di rumah dengan seorang pekerja pada 2013 menghadapi pelbagai pahit manis dalam perusahaannya untuk mendapatkan pasaran.
“Berkat kesabaran dan disokong oleh pelbagai agensi termasuk menghadiri bermacam kursus pemasaran dan pembuatan, kini premis yang terletak di Bandar Inderapura mula mendapat tempat di hati pelanggan setempat dan daerah berdekatan.
“Kini, mempunyai enam pekerja di bahagian dapur dan tiga di bahagian kaunter bagi memudah dan melancarkan perniagaan dan tempahan,” katanya ketika ditemui di kedainya, di sini, hari ini.
Katanya, menghargai pelanggan, syarikatnya memberi sumbangan produk makanan selama satu tahun kepada murid dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kiol atas kejayaan lulus 100 peratus Ujian Penilaian Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan Sekolah-Sekolah Orang Asli 2019.
Katanya selain itu, Program Cabutan bertuah yang diadakan baru-baru ini, turut dihadiri Pengarah SME Corp Pahang ,Nadia Yusof , Timbalan Pengarah MARA, Pahang, Zainuddin Zakaria , Ketua Bahagian Pembangunan Usahawan Negeri Pahang, MARA, Noraidah Ishak dan Pegawai MARA Daerah Jerantut, Syafizzi Tahir.
Dalam program cabutan bertuah, pemenang Motosikal Yamaha Y15, Sufi Nur Nadhirah Azman yang mewakilkan suaminya Mohamad Syafiq Hassan menyatakan kegembiraan kerana baharu menerima cahayamata.
Seorang pembantunya, Umi Atikah Ismail (29), berkata Suya Bakery mempunyai jenama utama kek keju leleh dan roti serunding daging yang menjadi permintaan utama di situ.
“Ada ketikanya, kami mengeluarkan hampir seribu buku kek keju leleh seminggu, selain itu turut membuka peluang kepada pembekal tempatan untuk menghantar kerepek, maruku dan beberapa jenis bahan makanan untuk dijual,”katanya.