SUU KYI DIKENAKAN DUA TUDUHAN BARU
SUU KYI DIKENAKAN DUA TUDUHAN BARU
YANGON: Pemimpin awam Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, dikenakan dua tuduhan jenayah baharu dalam penampilan di mahkamah melalui pautan video hari ini, sebulan selepas rampasan kuasa tentera yang mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran.
Suu Kyi, 75, sudah menghadapi tuduhan jenayah yang tidak jelas kerana memiliki walkie-talkie tanpa izin, serta melanggar sekatan COVID-19 dengan mengadakan acara kempen sepanjang pilihan raya tahun lalu, lapor AFP.
GAMBAR IHSAN AFP
Beliau kini juga dituduh melanggar undang-undang komunikasi dan berniat untuk menimbulkan rusuhan orang ramai, kata peguamnya Khin Maung Zaw.
“Kami tidak dapat menyatakan dengan pasti berapa banyak lagi kes yang akan dihadapi Daw Aung San Suu Kyi dalam tempoh ini,” katanya kepada wartawan di Naypyidaw.
“Apa saja boleh berlaku di negara ini pada masa ini.”
Suu Kyi dilaporkan ditahan di sebuah rumah di ibu kota Naypyidaw, sebuah kota terpencil yang dibina oleh tentera semasa pemerintahan diktator sebelumnya.