SUU KYI DIBICARAKAN MINGGU DEPAN
SUU KYI DIBICARAKAN MINGGU DEPAN
NAYPYIDAW: Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi akan hadir di mahkamah melalui sidang video minggu ini atas tuduhan terbaharu oleh junta terhadapnya, kata peguamnya hari ini.
Ketua Tentera, Jeneral Min Aung Hlaing, menjustifikasikan rampasan kuasa oleh tentera pada 1 Februari lalu dengan menuduh berlakunya penipuan pengundi dalam pilihan raya November, yang dimenangi oleh Parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) yang dipimpin Suu Kyi.
Dua hari selepas rampasan kuasa itu, pemenang anugerah Nobel berusia 75 tahun itu dituduh dengan tuduhan luar biasa, iaitu melanggar undang-undang import dan eksport Myanmar, selepas penggeledahan di rumahnya menemui walkie-talkie.
Presiden U Win Myint – yang seperti Suu Kyi, ditahan dalam serbuan pada subuh 1 Februari – dituduh melanggar sekatan COVID-19 ketika beliau mengambil bahagian dalam acara kempen pada September lalu yang menarik kehadiran ratusan orang.
Kedua-duanya dijangka disoal pada Selasa dan Rabu, kata peguam Khin Maung Zaw di luar mahkamah di Naypyidaw, ibu kota Myanmar, selepas mengadakan pertemuan dengan hakim.
GAMBAR IHSAN AFP
“Ketika mereka dihadapkan ke mahkamah pada 16 dan 17 Februari, mereka akan disoal siasat melalui sidang video,” katanya.
Kedua-duanya tidak kelihatan secara terbuka sejak rampasan kuasa, meskipun pihak Suu Kyi telah mendengar bahawa beliau dalam keadaan sihat.
Tempoh penahanan mereka akan berakhir pada Rabu, kata peguam itu, yang belum dibenarkan bertemu dengan pelanggannya.
Beliau menambah bahawa, juga mengharap dapat mewakili Win Htein, eksekutif tertinggi NLD yang ditangkap selepas rampasan kuasa, lapor AFP.
Orang kanan dan kepercayaan Suu Kyi, Win Htein, ditemubual oleh media tempatan selepas rampasan kuasa, menyeru rakyat Myanmar supaya menentang (rampasan kuasa) sebanyak yang mereka boleh.
Pemimpin NLD berusia 79 tahun itu dituduh melakukan fitnah, kata Khin Maung Zaw.
“Kami berusaha sedaya upaya untuk bertemu dengan mereka,” katanya sambil merujuk kepada trio terbabit.
Sejak rampasan kuasa, kira-kira 400 orang telah ditahan, menurut kumpulan pemantau Persatuan Bantuan Tahanan Politik.
Walaupun ramai yang ditangkap adalah penyokong politik Suu Kyi, pihak berkuasa juga meningkatkan penahanan orang awam yang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan di seluruh negara terhadap junta.
Pasukan keselamatan minggu lalu melakukan serbuan di markas NLD di Yangon pada lewat malam, merampas peranti komputer, memotong kabel pelayan dan memecah masuk peti keselamatan parti.