SUU KYI DIARAH HADIRI PERBICARAAN SECARA FIZIKAL PADA 24 MEI INI
SUU KYI DIARAH HADIRI PERBICARAAN SECARA FIZIKAL PADA 24 MEI INI
YANGON: Peguam kepada Aung San Suu Kyi menjelaskan, hakim memerintahkan pemimpin Myanmar digulingkan itu hadir sendiri ke mahkamah buat julung kalinya pada 24 Mei ini, selepas kesnya tertangguh beberapa minggu.
Pemenang Nobel itu belum dilihat di tempat awam sejak ditahan dalam rampasan kuasa 1 Februari lalu, ketika tentera menggulingkannya daripada kekuasaan dan kembali memerintah.
Beliau kemudian berdepan beberapa tuduhan, dan kumpulan peguamnya menghadapi kesukaran untuk mendapatkan sesi tertutup dengan klien mereka.
Beberapa perbicaraan mahkamah di ibu negara Naypyidaw menyaksikan Suu Kyi yang hadir melalui persidangan video dari tahanan rumah menyuarakan kekecewaan terhadap siri prosiding berkenaan.
Ketika perbicaraan terakhir hari ini, seorang hakim memerintahkan supaya kesnya didengar secara fizikal di mahkamah khas berhampiran kediamannya.
“Dia akan hadir secara fizikal di mahkamah pada 24 Mei ini,” kata peguam Khin Maung Zaw kepada AFP.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih berdepan masalah untuk dapat bertemu secara peribadi dengan Suu Kyi.
“Masalah belum diselesaikan kerana polis tidak menjawab sama ada mereka dapat mengatur pertemuan kami atau tidak,” katanya, sambil menegaskan ‘hak bagi tertuduh’.
Bekas pemimpin berusia 75 tahun itu sudah didakwa enam kali sejak beliau ditahan.
Ia termasuk mencabul sekatan COVID-19 semasa kempen pilihan raya, tahun lalu, dan memiliki walkie-talkie tanpa izin.
Tuduhan paling serius adalah melanggar Akta Rahsia Rasmi era penjajahan di negara ini, iaitu kes yang sedang menunggu keputusan di mahkamah di hab komersial Yangon.
Junta juga mendakwanya melakukan rasuah, walaupun tiada dakwaan dikemukakan yang menuduh beliau menerima rasuah berbentuk jongkong emas dan wang tunai.
Junta berterusan membenarkan penahanan dan rampasan kuasa sebagai kaedah untuk mempertahankan demokrasi, dengan dakwaan penipuan pilihan raya oleh Liga Nasional bagi Parti Demokrasi, yang memenangi pilihan raya November lalu.