SUSHI JERANTUT SELERA MELAYU
SUSHI JERANTUT SELERA MELAYU
JERANTUT: Sushi ialah salah satu makanan tradisional yang popular di Jepun dan kini turut digemari dan boleh didapati di Pasar Ramadan Jerantut dengan citarasa Melayu yang diolah semula oleh penjual sushi itu.
Sepasang suami isteri yang menjual sushi di Pasar Ramadan, Rohaizi Yazi Abu Hassan dan Qurratuainah Mohamed Ghani kedua-dua berusia 34, mula menjual makanan kegemaran Jepun itu pada September 2020 di Pasar Malam dan Pekan Sehari Jerantut.
Kata Qurratuainah, masyarakat Melayu tidak begitu gemar dengan citarasa Jepun kecuali golongan muda, maka dia beralih kepada olahan selera Melayu dan selain sushi selera Jepun, mula mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Orang kita terutama golongan yang berusia mula menyukai sushi selera Melayu dengan menambah perasa rempah dan sedikit pedas, sejak itu saya dapat menjual di pasar malam dan pekan sehari Jerantut hampir 500 butir.
“Jualan di pasar Ramadan, saya hanya menyediakan 300 butir, tetapi pada situasi pandemik ini saya terus menyediakan dalam bentuk siap dibungkus pada harga RM4, RM5 dan RM10 kerana mula berniaga pada jam 4.30 petang sehingga 6.30 petang,” katanya.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, sushi diperbuat daripada nasi bercuka dan dibubuh inti campuran ikan, makanan laut, sayur-sayuran atau telur dan bahan untuk membuat sushi boleh didapati di pasar raya di Jerantut tetapi ada bahan perlu dibeli di Kuantan atau Kuala Lumpur.
“Sebelum menjual sushi saya pernah menjual makanan ringan seperti donut, tetapi oleh kerana tiada peniaga yang menjual sushi di Jerantut, maka saya memberanikan diri menjual juadah ini.
“Saya berharap jualan sushi selera Melayu akan menjadi popular dan merancang akan membuka kiosk di bandar Jerantut dengan jenama sendiri,”katanya.