SURI RUMAH HINA AGONG MENANGIS DIDENDA RM9,000
SURI RUMAH HINA AGONG MENANGIS DIDENDA RM9,000
KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah yang didenda RM9,000 kerana membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui laman sosial Facebook, menangis di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini sambil mengakui perbuatannya itu adalah bodoh.
Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhi hukuman itu ke atas Rosmawati Mohd Zain, 46, selepas dia mengaku bersalah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menganiayai orang lain, melalui Facebook menggunakan nama profil ‘Rosmawati Mohd Zain’ pada 7.06 malam, 25 Mei lalu, lapor BERNAMA.
Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 1.06 tengah hari, 1 Jun lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Mahkamah turut memerintahkan Rosmawati dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda berkenaan.
Ketika rayuan, Rosmawati yang tidak diwakili peguam memohon denda ringan atas alasan dia insaf dan menyesal dengan perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
“Saya seorang suri rumah dan mempunyai empat anak. Saya terlalu emosi waktu itu.
“Saya menyesal dan berjanji tidak akan meluah perasaan melalui Facebook. Saya akui, saya buat tindakan bodoh,” rayunya sambil menangis teresak-esak.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
“Kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 semakin berleluasa. Hari ini sahaja dua kes dituduh.
“Di dalam kes hari ini, tertuduh membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong iaitu individu yang paling dihormati dalam sistem Perlembagaan,” katanya.