SURAT MP UMNO TARIK SOKONGAN PADA MUHYIDDIN
SURAT MP UMNO TARIK SOKONGAN PADA MUHYIDDIN
KUALA LUMPUR: Umno mendedahkan 13 surat membabitkan ahli parlimen termasuk Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Kimanis, Mohamadin Alamin yang tidak lagi menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Surat berkenaan telah diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Surat berkenaan disahkan oleh peguam Santhra Segaran, bertarikh antara 29 Julai dan 3 Ogos dan telah diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Surat-surat terbabit disiarkan secara ringkas di akaun media sosial parti itu, hari ini, lapor malaysiakini.
Ahli Parlimen yang menandatangani surat berkenaan ialah, Najid Abdul Razak (Pekan), Azalina Othman Said (Pengerang), Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Ahmad Jazlan Yaakub (Machang), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) dan Ramli Mohd Nor (Tanah Tinggi Cameron).
Manakala yang turut menandatangi surat berkenaan ialah Ahmad Maslan (Pontian)
Mohd Nizar Zakaria (Parit), Noh Omar (Tanjong Karang), Azeez Abdul Rahim (Baling), Shamsul Anuar Nasara (Lenggong), Bung Moktar Radin (Kinabatangan) dan Mohamad Alamin (Kimanis)
Bung Moktar dan Mohamad adalah dua ahli Parlimen terbaru yang menyertai senarai Ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin, menjadikan jumlah keseluruhan 14 ahli parlimen.
Bung Moktar adalah yang paling awal menandatangani surat itu pada 29 Julai.
Umno juga telah memuat naik dua surat yang ditandatangani oleh presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Yang pertama, bertarikh 30 Julai, di mana Zahid menyampaikan warkah kepada Agong untuk mempersembahkan tandatangan surat pertama yang ditandatangani oleh ahli parlimen Umno.
Dalam surat kedua, bertarikh 4 Ogos, Zahid menyerahkan senarai lengkap 14 ahli parlimen yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan tidak ada mana-mana anggota parlimen yang menandatangani surat pertama menarik sokongan mereka.
Pada 3 Ogos lalu, Malaysiakini melaporkan sekurang-kurangnya 14 ahli parlimen sudah menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata beberapa sumber dalaman parti itu.
Menurut mereka, selain 11 ahli parlimen yang hadir bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semasa membuat pengumuman isu berkenaan di Kuala Lumpur, ada tiga yang lain sudah menurunkan tandatangan untuk memaklumkan pendirian mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Antara mereka yang tidak hadir bersama presiden Umno hari ini tetapi sudah menandatangani surat penarikan balik sokongan kepada PN ialah ahli parlimen Lenggong, dan seorang (ahli parlimen Sabah),” kata sumber yang dekat dengan Ahmad Zahid.
Untuk rekod ahli parlimen Lenggong ialah Shamsul Annuar Nasarah yang meletakkan jawatannya sebagai menteri tenaga dan sumber asli.
Pendedahan surat-surat ini telah menimbulkan keraguan lebih lanjut mengenai dakwaan Muhyiddin bahawa dia masih mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.
Muhyiddin menolak gesaan mengundurkan diri dan berjanji untuk menguji majoritinya ketika Parlimen bersidang semula pada bulan September.
Dua ahli parlimen Umno – Shamsul Anuar dan Noraini Ahmad – telah mengundurkan diri dari kabinet Muhyiddin. Noraini berkata dia berbuat demikian kerana dia harus menegakkan keputusan kepemimpinan parti tetapi tidak secara spesifik menyatakan bahawa dia tidak menyokong Muhyiddin.
Setakat laporan ini ditulis, Muhyiddin mendapat sokongan sekurang-kurangnya 21 ahli parlimen Umno, tidak termasuk Noraini.
Ini bermaksud bahawa Muhyiddin hanya mendapat sokongan jelas dari 98 ahli parlimen – kurang 13 untuk mendapat majoriti sederhana di parlimen.