Superman kecundang di LPT 2
Superman kecundang di LPT 2
TERENGGANU- Hasrat dua remaja yang ingin menghabiskan masa hujung minggu untuk berkelah terbantut apabila ditangkap berasingan oleh sepasukan Polis dari JSPT IPK Terengganu (Skuad 42) dalam Operasi Samseng Jalanan pada pagi Jumaat.
Remaja pertama yang ditangkap berusia 21 tahun menunggang motosikal dari Kg Sura, Dungun hendak menuju ke Pantai Penarik, Setiu untuk bersiar-siar.
Semasa melalui Lebuhraya LPT 2, remaja pertama itu menunggang motosikal sambil meniarap di atas tempat duduk motosikal (ala Superman) berulang kali sejauh 12 kilometer.
Remaja kedua pula yang ditangkap berusia 18 tahun menunggang motosikal dari Bukit Payong, Marang menuju ke Taman Rekreasi Tasik Puteri, Bukit Besi juga untuk bersiar-siar.
Semasa melalui Lebuhraya LPT 2, remaja kedua itu menunggang motosikal sambil berdiri di atas tempat duduk motosikal dengan sebelah kaki dan melakukan aksi wheelie berulang kali sejauh 200 meter.
Skuad 42 JSPT IPK Terengganu yang sedang menjalankan risikan di sepanjang Lebuhraya LPT 2 dekat kawasan Ajil – Bukit Besi terserempak dan terus mengekori kedua-dua remaja tersebut sehinggalah tertangkap di tempat berasingan ketika mereka memberhentikan motosikal masing-masing di R&R Ajil dan R&R Bukit Besi.
Kedua-dua remaja itu bersama-sama dengan motosikal yang ditunggang oleh mereka telah dibawa ke BSPT IPD Hulu Terengganu untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan aksi-aksi tersebut yang jelas membahayakan kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain,lapor JSPT Terengganu
Jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.