Superbowl Lipis Bukti Keupayaan Koperasi Wanita Urus Pusat Komersial
Superbowl Lipis Bukti Keupayaan Koperasi Wanita Urus Pusat Komersial
Gabung keusahawanan, pelancongan dan pembangunan bakat tempatan
LIPIS – Pelancaran Pusat Superbowl Bowling Koperasi Wanita (WI) Daerah Lipis Berhad (KOWILIP) bukan sekadar menandakan sejarah baharu bagi koperasi wanita di Malaysia, malah membuktikan kemampuan wanita mengurus pusat komersial sendiri dengan pendekatan moden dan inklusif.
Pengerusi KOWILIP, Wan Norizan Wan Badruzzaman, berkata pusat bowling itu mula beroperasi secara usahasama sejak Februari tahun lalu dan menjadi simbol kebangkitan koperasi wanita dalam bidang keusahawanan.
“Kami berbangga kerana KOWILIP menjadi koperasi wanita pertama di Malaysia yang memiliki dan menguruskan pusat bowling sendiri.
Usaha ini bukan hanya memberi peluang ekonomi kepada ahli koperasi, tetapi juga membuka ruang baharu kepada komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata, pusat berkenaan turut dilengkapi kemudahan taman permainan dan pusat rekreasi keluarga, sekali gus menjadikannya lokasi riadah baharu bagi penduduk sekitar.
Sementara itu, Jerry Seong, wakil rakan strategik Superbowl Lipis, berkata operasi rasmi pusat itu bermula Februari 2024 selepas melalui tempoh persiapan yang panjang, termasuk urusan pembekal dan pemasangan teknikal peralatan.
“Kami mula sebagai rakan strategik koperasi, membantu dari segi kepakaran dan modal.
Idea asal bowling di Lipis datang daripada Puan Wan Norizan sendiri yang mahu mewujudkan tarikan baharu untuk pelancongan dan aktiviti komuniti di bandar ini,” katanya.
Beliau berkata, Lipis yang terkenal sebagai Bandar Warisan dan Bandar Paling Bahagia di Malaysia kini mempunyai satu lagi daya tarikan yang diharap dapat menyemarakkan sektor pelancongan tempatan.
“Kita harap dengan adanya Superbowl , Lipis akan jadi lebih ‘bahagia’ dengan aktiviti sihat untuk keluarga dan golongan muda.
Sambutan juga amat menggalakkan dengan pendapatan purata antara RM60,000 hingga RM70,000 sebulan,” katanya.
Tambahnya, pihaknya turut merancang menyumbang semula kepada komuniti melalui program pembangunan bakat dan sukan bowling.
“Kami sedang berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk wujudkan program khas melatih pelajar dan bakat muda.

Dulu Lipis tak ada fasiliti bowling, sekarang pelajar boleh datang latihan dan kita sasar wakil daerah ke kejohanan besar akan datang,” katanya.
Selain itu, Superbowl Lipis turut mengadakan aktiviti mingguan seperti ‘Weekly Challenge’, ‘Members Day’ dan bengkel latihan bagi menarik pengunjung serta memupuk minat sukan di peringkat akar umbi.
Ibu kepada projek itu, Wan Norizan berkata, usaha seperti ini membuktikan wanita mampu menerajui perniagaan moden dengan semangat koperasi, sambil menjadikan Lipis pusat riadah baharu yang berdaya saing.
“Harapan kami agar KOWILIP terus maju, menjadi contoh kepada koperasi wanita lain untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi dan terus membantu pembangunan komuniti,” katanya.-SAHIH