SUNGAI PAHANG LEPASI PARAS AMARAN
KUANTAN: Air Sungai Tembeling di Kuala Tahan dan Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut melepasi paras amaran, manakala lima lagi sungai di Pahang berada pada paras berjaga-jaga, pagi tadi.
Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my pada 9 pagi ini, Sungai Tembeling mencecah 66.53 meter (m) berbanding paras amaran yang ditetapkan 66m, manakala Sungai Pahang di Sungai Yap merekodkan 51.88m berbanding 50m.
GAMBAR HIASAN
Memetik laporan BH Online, lima sungai yang melebihi paras berjaga-jaga ialah di Sungai Pahang, Lubuk Pasu, Temerloh yang merekod 29.32m berbanding 29m, Sungai Kuantan di Sungai Lembing, di sini iaitu 34.91 m berbanding 34m, Sungai Kuantan, Pasir Kemudi mencatat 4.74 m berbanding 4.6m.
Selain Sungai Belat di Sri Damai pula mencatat 3.09m berbanding tiga m dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor merekodkan 28.54m berbanding 28.50m.
Sehubungan itu, penduduk yang tinggal di kawasan rendah terutama berhampiran sungai dinasihat sentiasa dalam keadaan bersedia untuk berpindah jika berlaku banjir.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca peringkat waspada dengan hujan lebat di lima daerah di Pahang iaitu Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin, hari ini.
Angin kencang pula berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Pahang sehingga 22 Disember ini.