Sumbangan Awal Ramadan: Anak Yatim Terima Bantuan Lebih Awal Tahun Ini
Sumbangan Awal Ramadan: Anak Yatim Terima Bantuan Lebih Awal Tahun Ini
TEMERLOH – Seramai 40 orang anak yatim dari dua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) menerima sumbangan lebih awal tahun ini bagi memberi mereka peluang membeli keperluan Hari Raya sebelum penghujung Ramadan.
Pengerusi JPKK Kampung Sungai Buloh merangkap Pengerusi Masjid Ar-Ridzuan, Ahmad Jafri Dollah berkata, kelainan dalam pemberian sumbangan tahun ini bertujuan memastikan anak-anak yatim dapat merasai suasana membeli-belah dengan lebih selesa dan tidak terkejar-kejar di saat akhir.
“Biasanya kita buat di hujung Ramadan, tapi tahun ini kita bagi awal supaya mereka dapat membeli pakaian dengan lebih tenang. Program ini turut melibatkan 21 keluarga dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM12,000,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan sumbangan di masjid tersebut.
Menurut beliau, setiap penerima menerima bantuan wang tunai sebanyak RM300 untuk membeli keperluan Hari Raya. Selain itu, mereka juga bakal menerima pakaian baharu hasil sumbangan tambahan daripada Yang Berhormat Datuk Ridzuan Hazimin.
Sementara itu, Datuk Ridzuan Hazimin yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Semantan menyatakan penghargaan kepada pihak masjid kerana berusaha menjayakan program kebajikan ini saban tahun.
“Alhamdulillah, saya dijemput oleh pihak masjid untuk bersama-sama dalam program ini. Setiap tahun jumlah sumbangan semakin meningkat, dan ini membuktikan masyarakat semakin prihatin terhadap kebajikan anak-anak yatim,” katanya.
Beliau turut menyeru agar lebih banyak program sebegini diadakan bukan sahaja sepanjang Ramadan, tetapi juga pada bulan-bulan lain bagi mengimarahkan lagi masjid sebagai pusat kebajikan dan kemasyarakatan.
Dalam pada itu, pihak DUN Kuala Semantan turut memberi jaminan bahawa sebarang keperluan masjid dalam menjayakan program kebajikan akan ditampung mengikut keperluan dan permohonan yang dibuat.
“Kita akan lihat mana yang perlu ditambah baik dan kita akan beri sokongan. Selain itu, NGO dan pihak berkaitan juga boleh menyumbang agar lebih ramai anak yatim mendapat manfaat,” tambah beliau.
Program yang berlangsung di Masjid Ar-Ridzuan itu berakhir dengan sesi jamuan berbuka puasa bersama anak-anak yatim serta penyampaian sumbangan oleh tetamu kehormat.-SAHIH