SUMAREH SERTAI JDT?
SUMAREH SERTAI JDT?
KUALA LUMPUR: Ketika heboh berita mengenai Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) membayar AS$1.2 juta (kira-kira RM4.9 juta) kepada Mohamadou Sumareh, timbul juga cerita lain mengenai pemain itu.
Ia selepas bekas pemain Pahang itu didakwa bakal menyertai pesaing skuad Tok Gajah yang juga juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perkhabaran itu kini bertiup kencang di media sosial dengan ada yang mendakwa pemain berusia 26 tahun itu semakin hampir menyarung jersi skuad Harimau Selatan itu.
Bagaimanapun belum ada kenyataan rasmi daripada Sumareh atau pun JDT sendiri mengenainya.
Malah, ketika dihubungi BH Sukan untuk mendapatkan komennya mengenai arahan FIFA kepada PBNP juga, pemain naturalisasi pertama negara itu tidak memberikan sebarang respon.
Sebelum ini Sumareh berkelana ke Liga Thailand bersama kelab Police Tero FC selama beberapa bulan selepas meninggalkan Pahang dengan mengaktifkan klausa 8.7 dalam kontraknya.
Dia kemudian mengesahkan kembali ke Malaysia sambil menyifatkan pengalaman bersama Police Tero di Liga Thailand memberi banyak faedah buat kariernya.
Bukan berita mengejutkan jika benar Sumareh menyertai JDT kerana sebelum ini sudah banyak spekulasi mengaitkannya dengan skuad Harimau Selatan terutama selepas nekad meninggalkan Pahang.