SULTAN SHARAFUDDIN LARANG GUNA KALIMAH ALLAH DALAM BIBLE DI SELANGOR
SULTAN SHARAFUDDIN LARANG GUNA KALIMAH ALLAH DALAM BIBLE DI SELANGOR
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah melarang pengunaan kalimah Allah dalam kitab Bible terjemahan Bahasa Melayu atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian.
Baginda bertitah, ini bagi memelihara kalimah suci umat Islam itu yang mana kalimah Allah ialah kalimah suci umat Islam merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan, lapor Malaysiakini.
“Beta menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku-buku dan tulisan-tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk sekalipun yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang sama sekali penggunaannya di negeri Selangor.
“Beta mengulangi pendirian beta bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan yang maha esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.
Titah baginda, kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan yang maha esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.
“Namun demikian sekiranya perkataan Tuhan digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan God, beta tiada halangan atas penggunaan perkataan Tuhan tersebut,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah Allah pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.
Justeru, mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian yang berbangsa Melanau berhak menggunakan kalimah Allah untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.
Hakim Nor Bee Ariffin membenarkan tindakan undang-undang oleh Jill Ireland dalam kemelut yang berlarutan hampir 13 tahun.
Pada 11 Mei 2008, cakera padat (CD) berjudul Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah, Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah dan Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah telah dirampas daripada Jill Ireland sebaik dia tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.
Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata arahan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan Allah, Baitullah, Kaabah dan solat menyalahi undang-undang dan tidak rasional.
“Penggunaan perkataan itu tidak akan mengganggu ketenteraman awam,” katanya.
Nor Bee berkata perkataan itu juga boleh digunakan oleh masyarakat untuk tujuan pengajaran kerana telah digunakan lebih 400 tahun.
Kerajaan Persekutuan pada 15 Mac lalu mengemukakan rayuan mengenai hak menggunakan kalimah Allah di kalangan masyarakat bukan beragama Islam kini ke peringkat Mahkamah Rayuan.
Perkara itu disahkan oleh Peguam Cara Negara Abdul Razak Musa.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menegaskan ia juga adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam negeri pada tahun 2014.
“Fatwa yang diwartakan di negeri Selangor pada 18 Februari 2010 yang menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan Tuhan bagi agama-agama bukan Islam yang lain.
“Adalah menjadi kewajipan bagi orang Islam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penyalahgunaan atau penghinaan terhadap kalimah Allah tersebut,” titah baginda.
Titah baginda, rakyat yang bukan beragama Islam di negeri Selangor sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988.
Titah baginda sebagai ketua agama Islam Selangor, baginda tetap akan mempertahankan kesucian kalimah Allah ini kerana memelihara kesucian kalimah Allah ini adalah menjadi tuntutan agama.