Sultan Pahang Titah Bahasa Melayu dan Tulisan Jawi Terus Dimartabatkan
Sultan Pahang Titah Bahasa Melayu dan Tulisan Jawi Terus Dimartabatkan
LIPIS – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa Bahasa Melayu dan tulisan Jawi adalah warisan yang perlu terus dipertahankan bagi memastikan jati diri bangsa tidak luntur ditelan zaman.
Paduka Baginda bertitah, bahasa bukan sekadar alat komunikasi tetapi merupakan roh dan nadi tamadun bangsa yang mencerminkan identiti serta kebijaksanaan peradaban Melayu sejak berkurun lamanya.
“Bahasa Melayu bukan hanya penyampai bicara, tetapi juga teras penyatuan dan lambang maruah kita. Dalam arus globalisasi ini, jangan sampai kita ghairah menjunjung bahasa asing hingga mengetepikan bahasa sendiri,” titah Paduka Baginda.
Sultan Pahang bertitah demikian dalam majlis perasmian Masjid Baharu Kampung Seberang Jelai yang kini dikenali sebagai Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Dalam titahnya, Paduka Baginda turut menekankan kepentingan tulisan Jawi yang semakin dipinggirkan dalam kehidupan moden.
“Tulisan Jawi bukan sekadar seni tulisan, tetapi warisan bangsa yang membawa sejarah dan nilai keilmuan. Ia amanah yang wajib kita pelihara,” titah Paduka Baginda lagi.
Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar dasar penggunaan tulisan Jawi yang dikuatkuasakan di premis perniagaan dan papan tanda sejak tahun 2020 terus mendapat kerjasama daripada semua pihak.
Sultan Pahang turut mengingatkan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan sebarang pindaan terhadapnya hanya boleh dilakukan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.
“Sebagai rakyat yang berdaulat, kita perlu memahami bahawa Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa pertuturan tetapi juga lambang kedaulatan negara. Jika kita sendiri tidak menghormatinya, siapa lagi yang akan mempertahankannya?” titah Baginda.
Paduka Baginda juga menggesa agar Negeri Pahang menjadi contoh dalam usaha memartabatkan bahasa dan tulisan warisan ini, demi memastikan generasi akan datang tidak kehilangan akar budaya mereka.
“Semoga dengan keazaman bersama, kita dapat terus mempertahankan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi sebagai benteng utama jati diri bangsa. Insya-Allah,” titah Paduka Baginda mengakhiri ucapan.-SAHIH