Sultan Pahang Terkejut Hutan 26,000 Ekar Diceroboh Tanam Musang King
Sultan Pahang Terkejut Hutan 26,000 Ekar Diceroboh Tanam Musang King
RAUB – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa terkejut dan kecewa apabila dimaklumkan terdapat pencerobohan haram melibatkan aktiviti penanaman durian Musang King seluas 26,000 ekar di Hutan Simpan Sungai Klau, di Raub.
Baginda menyifatkan aktiviti pencerobohan atau penerokaan secara haram itu membimbangkan dan perlu dihentikan serta-merta.
“Saya amat terkejut. Saya telah nyatakan dalam Dewan tempoh hari bahawa saya mahu amalan ini dinoktahkan dengan sebaik mungkin dan secepat mungkin. Ia tidak boleh dibiarkan, bukan hanya di Raub tetapi di seluruh Pahang,” titah baginda ketika mencemar duli melakukan lawatan ke kawasan terbabit hari ini.
Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Exco Komunikasi & Multimedia, Belia, Sukan & NGO Negeri Pahang Wakil Rakyat Dong. YB Fadzli Mohamad Kamal
Titah baginda, banyak laporan dan rungutan diterima berkaitan isu pengurusan tanah yang lemah dan tidak mencerminkan tahap pentadbiran yang sewajarnya.
“Saya akan turun tinjau dari masa ke semasa. Jika saya tidak dapat hadir, anakanda saya, Menteri Besar serta Setiausaha Kerajaan Negeri akan teruskan turun ke peringkat bawah,” titahnya lagi.
Baginda turut menegaskan bahawa sebarang penyelesaian harus dibuat secara harmoni dan berhemah demi kebaikan masa depan negeri.
“Memang ada pihak tidak puas hati, tetapi lebih ramai lagi yang marah terhadap tindakan penceroboh ini. Ini perlu dihentikan,” tegas baginda.
Al-Sultan Abdullah turut melahirkan rasa sedih melihat kerosakan alam sekitar termasuk kawasan bukit di Cameron Highlands dan Gunung Benom yang kini semakin gondol akibat penerokaan rakus.
“Jangan jadi boneka kepada mereka yang melaksanakan aktiviti haram. Itu satu pengkhianatan,” titah baginda sebelum mengakhiri lawatan dan menyeru semua pihak bekerjasama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.-SAHIH
–