Sultan Pahang Santuni Mangsa Banjir di Karak, Titah Usaha Tebatan Dipertingkat
Sultan Pahang Santuni Mangsa Banjir di Karak, Titah Usaha Tebatan Dipertingkat
BENTONG – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia hari ini bagi menyantuni mangsa banjir yang terjejas akibat bencana itu.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 10.45 pagi disambut oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan negeri dan daerah yang hadir bagi menzahirkan keprihatinan terhadap situasi yang dihadapi penduduk.
Seramai 150 mangsa daripada 49 keluarga yang berasal dari Kampung Karak Setia dan Perumahan Prima Karak ditempatkan di PPS berkenaan sejak semalam bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mereka terjaga.
Dalam kesempatan itu, Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada semua Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat selain meninjau keadaan Masjid Kampung Karak Setia serta kawasan sekitar yang terjejas akibat banjir.
Paduka Baginda dalam titahnya menyeru rakyat agar bersabar dan menerima ujian ini dengan reda serta ikhlas.
“Saya yakin pihak berkuasa telah melaksanakan tugas dengan baik dan sentiasa bersiap sedia untuk membantu meringankan beban mangsa banjir. Kita harus bersyukur kerana jentera bantuan di Pahang sentiasa cekap dalam menangani situasi ini,” titah Baginda.
Baginda turut menekankan keperluan meningkatkan usaha tebatan banjir termasuk projek bernilai RM300 juta yang dirancang, selain menyarankan usaha mendalamkan serta membesarkan sungai sebagai langkah tambahan.
“Saya harap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat mengkaji penyelesaian terbaik termasuk meluruskan laluan Sungai Bentong agar dapat mengurangkan risiko banjir di masa hadapan,” titah Baginda.
Keprihatinan Paduka Baginda jelas terpancar dalam lawatan ini, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terbela.-SAHIH