SULTAN PAHANG RASMI NAMA BAHARU MASJID KAMPUNG PADANG POLO, TITAH PENTINGNYA SUKAN DAN ILMU
SULTAN PAHANG RASMI NAMA BAHARU MASJID KAMPUNG PADANG POLO, TITAH PENTINGNYA SUKAN DAN ILMU
PEKAN – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli merasmikan nama baharu Masjid Kampung Padang Polo, di sini, sempena satu majlis rasmi semalam.
Dalam titah diraja, Paduka Baginda menegaskan bahawa masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi simbol perpaduan, ilmu dan ketakwaan dalam kalangan umat Islam.
“Masjid ini bukan sekadar binaan batu dan marmar, tetapi juga menara cahaya yang menyinari hati serta membimbing jiwa ke arah ketakwaan,” titah Paduka Baginda.
Selain itu, Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa sejarah Kampung Padang Polo sendiri sarat dengan nilai warisan dan ketangkasan, di mana ia dahulunya menjadi medan berkuda dan simbol keberanian.
Paduka Baginda turut menyeru rakyat untuk menjadikan sukan sebagai jambatan kesihatan dan riadah sebagai wasilah keutuhan jasmani.
“Jika tidak mampu menghulus panah di medan memanah, maka cukuplah dengan menggerakkan tubuh, walau hanya sekadar berjalan mengelilingi padang polo ini. Jika tidak berpeluang menunggang kuda, maka cukuplah dengan beriadah di halaman sendiri demi kesejahteraan yang berkekalan,” titah Paduka Baginda.
Dalam aspek pendidikan pula, Paduka Baginda menyeru agar masjid dimakmurkan dengan ilmu dan amal ibadah.
“Jangan biarkan ruangnya lengang tanpa jemaah, jangan biarkan mimbar ini sepi tanpa ilmu. Hadirlah majlis-majlis ilmu yang dianjurkan kerana ilmu itu cahaya, dan cahaya itu petunjuk menuju kejayaan dunia serta akhirat,” titah Paduka Baginda lagi.
Paduka Baginda juga menekankan kepentingan menjaga kemurnian akhlak dalam membina masyarakat yang harmoni.
“Perindahkanlah kampung kita ini bukan hanya dengan keindahan landskapnya, tetapi dengan keluhuran akhlaknya.
Sebuah kampung yang makmur bukan hanya terletak pada keindahan zahirnya, tetapi pada kemuliaan penghuninya yang tekun beribadah, rajin menuntut ilmu, menjaga kebersihan, serta hidup dalam harmoni dan ukhuwah yang erat,” titah Paduka Baginda.
Majlis yang turut dihadiri pemimpin negeri dan penduduk setempat itu diserikan dengan sumbangan dan berbuka puasa bersama.-SAHIH