SULTAN PAHANG RASMI MASJID ABDUL RAHMAN IBN AUF: LAMBANG KETAKWAAN UMMAH
SULTAN PAHANG RASMI MASJID ABDUL RAHMAN IBN AUF: LAMBANG KETAKWAAN UMMAH
JERANTUT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
hari ini berkenan mencemar duli merasmikan Masjid Abdul Rahman Ibn Auf di Kampung Durian Hijau yang dibina dengan kos RM1.8 juta.
Dalam titah perasmian, Paduka Baginda menegaskan bahawa pembinaan masjid bukan sekadar sebuah binaan fizikal, tetapi lambang ketakwaan, perpaduan serta kecintaan umat Islam kepada Allah S.W.T.
Berangkat sama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
“Masjid ini bukan hanya tempat solat, tetapi pusat penyatuan ummah. Di sinilah umat Islam berkumpul, bersujud dan bermunajat, mencari rahmat dan hidayah-Nya,” titah Paduka Baginda di hadapan hadirin yang hadir termasuk Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, serta barisan kepimpinan negeri.
Paduka Baginda bertitah, masjid ini dinamakan sempena Abdul Rahman Ibn Auf, seorang sahabat Rasulullah S.A.W yang terkenal dengan sifat dermawan dan akhlak terpuji.
“Kekayaan bukan sekadar nikmat, tetapi amanah. Seperti Abdul Rahman Ibn Auf yang menginfaqkan hartanya demi agama, kita juga bertanggungjawab memastikan harta digunakan untuk manfaat ummah,” titah Paduka Baginda.
Dalam titahnya, Paduka Baginda menegaskan bahawa Islam adalah agama negeri Pahang sebagaimana termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang. Namun, penganut agama lain tetap diberikan kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan mereka dengan aman.
Mengakhiri titah, Paduka Baginda menyeru umat Islam untuk memelihara kesucian agama dan memastikan masjid terus berfungsi sebagai pusat dakwah dan ilmu.
Perasmian disusuli dengan majlis berbuka puasa bersama rakyat dan sumbangan 100 asnaf dari Kampung Durian Hijau. – SAHIH