SULTAN PAHANG KURNIA DARJAH KEBESARAN KEPADA 58 INDIVIDU
SULTAN PAHANG KURNIA DARJAH KEBESARAN KEPADA 58 INDIVIDU
KUANTAN – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat kepada 58 individu sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-66.
Istiadat pengurniaan berlangsung di Istana Abdulaziz dan disaksikan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
![]()
Seramai 16 individu menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri, antaranya Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup; Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Sri Shaik Abdul Rasheed Ghaffour.
Turut menerima SSAP ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dato’ Sri Mohd Mustafa Abdul Aziz dan Pengarah Belanjawan Negara, Dato’ Sri Ab Rahim Ab Rahman.
Tiga individu menerima Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Dato’ Indera iaitu Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Salleh; Mantan Pengerusi PERKEP, Puan Sri Dato’ Indera Zainah Othman dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara, Dato’ Indera Haji Che Roslan Che Daud.
Mufti Negeri Pahang, Profesor Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim pula dianugerahkan Darjah Al-Sultan Abdullah Shah (DSAS) yang membawa gelaran Dato’.
Lapan individu menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) termasuk Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi; dan pereka fesyen, Dato’ Radzuan Radzi.
Seramai 26 individu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran Dato’, antaranya pegawai kanan tentera, tokoh akademik, pegawai kanan kementerian dan pemimpin korporat.
![]()
Sultan Pahang turut berkenan mengurniakan Darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada empat penerima termasuk Juruiring Polis kepada Bekas Perdana Menteri ke-6, Deputi Superintenden Polis Nik Mohammed Syukry Nik Husain.-SAHIH
