SULTAN PAHANG BERANGKAT KE TAKLIMAT PEMBANGUNAN PULAU TIOMAN
SULTAN PAHANG BERANGKAT KE TAKLIMAT PEMBANGUNAN PULAU TIOMAN
PULAU TIOMAN, – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, berkenan berangkat menghadiri Taklimat Pembangunan Pulau Tioman di Dewan Berjaya, Tioman Resort, di sini, hari ini.
Keberangkatan Baginda pada jam 3 petang diiringi YAM Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Baginda berkenan mendengar pembentangan daripada Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) dan taklimat Program Pembangunan Ekonomi Asnaf oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Pahang (MUIP).
Turut dipersembahkan, penerangan mengenai Inisiatif Pembangunan Negara TM: Pemerkasaan Infrastruktur Digital dan Komuniti di Kampung Mukut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia (TM) serta Inisiatif Perbankan Tanpa Tunai Bank Simpanan Nasional (BSN) di Pulau Tioman oleh Ketua Eksekutif BSN.
Dalam titahnya, Baginda menzahirkan penghargaan atas usaha semua pihak yang merancang pembangunan demi kemudahan dan keselesaan rakyat Pulau Tioman.
Baginda bertitah, inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk, malah mampu menarik lebih ramai pelancong luar untuk menikmati keindahan pulau itu.

Baginda turut menyatakan harapan untuk melihat Pulau Tioman menjadi pulau contoh dalam aspek pemuliharaan alam sekitar dan pengurangan pelepasan karbon (free carbon area) seperti yang pernah dititahkan sebelum ini.
Selain itu, Baginda mengalu-alukan penganjuran lebih banyak program membina modal insan di pulau berkenaan bagi mewujudkan peluang pembangunan berterusan termasuk dalam bidang pendidikan. –SAHIH