Sultan mahu rakyat negeri jadi mata dan telinga kepada Sultan Pahang.
Foto : Sultan mahu rakyat negeri jadi mata dan telinga kepada Sultan Pahang – Ihsan FB Kesultanan Pahang
JERANTUT : Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah bertitah kepada rakyat negeri itu menjadi mata dan telinga kepada Sultan Pahang berkaitan pencerobohan tanah di negeri itu.
Baginda bertitah agar rakyat perlu bersama menjaga negeri Pahang agar tidak berlaku pencerobohan tanah-tanah di negeri itu.
“Oleh itu jadilah mata dan telinga kepada Sultan Pahang untuk menggelak berlaku lagi pencerobohan tanah di negeri ini.

“Saya pun naik darah juga banyak orang ceroboh tanah, sudah sampai masanya kita berkeras dengan penceroboh dan perlu diselesaikan dengan cara yang baik, “titah baginda..
Baginda bertitah demikian ketika bersama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar yang berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini semalam melalui FB Kesultanan Pahang.
Baginda berdua turut berkenan memberi kurnia kepada kanak-kanak dan menyantuni rakyat yang hadir di sekitar Kampung Bantal.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua ke Kampung Bantal selama tiga hari itu untuk bertemu rakyat kampung tradisional di kawasan berkenaan sempena majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Baginda berdua juga turut menyantuni masyarakat Orang Asli Sungai Kuching seterusnya mengikuti aktiviti yang dijadualkan bersama rakyat di kawasan berkenaan.- SAHIH