SUKPA ZON MERAH
PENDUDUK KUANTAN TAK PERLU BIMBANG
KUANTAN: Pembukaan pusat kuarantin di Kompleks Majlis Sukan Pahang (SUKPA) dekat Indera Mahkota tidak bermakna daerah ini berada dalam zon merah.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Zairasyahli Syah Zulkifli berkata, hanya kawasan stadium tertutup SUKPA sahaja dikategorikan sebagai zon merah, manakala kawasan sekitarnya kekal dengan kategori kuning dan hijau.
GAMBAR HIASAN
“Ramai orang yang ingat apabila pesakit COVID-19 ditempatkan di sini, bermakna daerah Kuantan sudah jadi zon merah… perkara itu tidak betul kerana hanya di sini sahaja (zon) merah.
“Saya harap penduduk di Kuantan tidak bimbang dan mendengar berita yang disebarkan pihak tertentu… pihak MKN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi lain mengadakan pemantauan 24 jam di sini.
“Kita akan pastikan pesakit COVID-19 ditempatkan di SUKPA tidak meloloskan diri… jadi, kita harap penduduk tidak bimbang, kita pun ada ahli keluarga di Kuantan, jadi keselamatan orang ramai menjadi keutamaan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan dan pemantauan operasi sanitasi serta persiapan di Stadium Tertutup SUKPA, pagi tadi.
Operasi sanitasi dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang.
Yang turut hadir Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda.
Sementara itu, Mohamad Noor memberi jaminan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap mana-mana pesakit COVID-19 ditempatkan di SUKPA yang cuba meloloskan diri.
“Kita akan mengambil tindakan jika ada yang cuba meloloskan diri… pegawai dan anggota PDRM yang ditempatkan di sini juga akan memastikan perkara seperti itu tidak berlaku,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira 40 pegawai dan anggota PDRM bertugas di stadium tertutup SUKPA sejak semalam.
Stadium Tertutup SUKPA mampu menempatkan 114 pesakit COVID-19 pada satu masa.