Sukarelawan hospital ibarat wira tidak didendangkan
Foto atas : Sukarelawan Hospital Kajang, Selangor, Wan Faridah (dua dari kanan), Azuan (empat dari kanan) dan Arbakyah (tengah) bersama-sama rakan gembira dapat berkhidmat secara sukarela di hospital itu.
Sukarelawan hospital ibarat wira tidak didendangkan
KAJANG – Sukarelawan hospital ibarat wira yang tidak didendang kerana usaha murni mereka yang tidak dibayar untuk menjalankan kerja secara sukarela bagi membantu petugas di hospital dalam menyantuni pesakit.
Katanya, anggapan sedemikian kurang tepat kerana pelbagai kebaikan boleh dilakukan dalam banyak perkara kerana paling penting niat melakukan tugas itu dengan ikhlas serta jujur kerana sekecil mana pun usaha berkenaan pasti besar maknanya.
“Inilah contoh terbaik ditunjukkan sukarelawan hospital yang boleh menawarkan bantuan dalam pelbagai segi kemahiran termasuklah memotong rambut dan kuku pesakit, menolak kerusi roda pesakit yang hadir untuk janji temu di klinik pakar dan sebagainya.
“Ibarat seorang wira sukarelawan berkemahiran ini sentiasa bersedia berkhidmat yang memberi banyak manfaat kepada pesakit serta masyarakat memerlukan bantuan dan kita seharusnya sedar akan kewujudan mereka membantu pihak hospital.
Beliau berkata demikian di majlis Sambutan Minggu Sukarelawan 2022 Peringkat Hospital Kajang, kelmarin.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah Perubatan 1, Hospital Kajang, Selangor, Dr Mardiah Masharuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sukarelawan Hospital Kajang.
Turut hadir pada majlis itu Presiden Sahabat Hospital Selangor, Mahat Tumin; wakil pelbagai jabatan dan sukarelawan Hospital Kajang; pertubuhan bukan kerajaan (NGO); serta wakil kelab.
Dr Abdul Ghani berkata, Hari Sukarelawan Antarabangsa yang disambut pada setiap 5 Disember adalah merupakan pengiktirafan pada peringkat antarabangsa yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1985.
Tambahnya, tujuan sambutan itu adalah untuk menghargai jasa dan sumbangan yang diberikan sukarelawan di samping meningkatkan kesedaran orang awam mengenai pengorbanan petugas sukarela kepada masyarakat, justeru inisiatif diambil dengan menganjurkan sambutan peringkat Hospital Kajang.
Tegas beliau, Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital dan sukarelawan tidak dapat dipisahkan kerana menerusi pegawai terbabit penilaian biopsikososial ke atas pesakit dilakukan dengan mendapat bantuan daripada sukarelawan.
“Sukarelawan ini memainkan peranan dalam membantu perkara yang bukan membabitkan bidang sains perubatan bagi memberi sokongan dalam aspek sosial, kebajikan dan emosi pesakit serta keluarga ketika menjalani rawatan atau pemulihan,”katanya.