SUKAN RAKYAT ERATKAN SILATURAHIM PENEROKA FELDA
SUKAN RAKYAT ERATKAN SILATURAHIM PENEROKA FELDA
JERANTUT – Program Sukan Rakyat yang dianjurkan serentak di tiga lokasi iaitu Felda Jengka 10, Felda Sungai Tekam dan Felda Kota Gelanggi 1 mencatatkan kehadiran lebih 2,500 orang.
Di Felda Jengka 10, majlis perasmian disempurnakan oleh Datuk Rozilan Salleh yang hadir mewakili YB Haris Salleh Hamzah, Penyelaras DUN Pulau Tawar.
Beliau diiringi Pengurus Felda Jengka 10, Faizuri Zakrial, dengan kehadiran lebih 1,000 penduduk membuktikan sambutan luar biasa terhadap program berkenaan.
Felda Sungai Tekam pula tidak kurang meriahnya apabila hampir 1,000 penduduk hadir.
Wakil mereka turut diberi penghormatan menyampaikan hadiah kepada para pemenang sebagai tanda sokongan terhadap acara sukan tradisional itu.
Sementara itu, di Felda Kota Gelanggi 1, program dirasmikan oleh Razak Daud selaku Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Wilayah Jengka.
Kira-kira 600 penduduk hadir menyertai pelbagai acara, termasuk hampir 100 kanak-kanak dalam pertandingan melukis, manakala kategori dewasa disertai lebih 60 orang.

Selain acara melukis, pertandingan sukan rakyat seperti tarik tali, boling buah kelapa, cucuk benang, lari bawa bola dan lari dalam guni mencetuskan suasana gamat dengan sorakan penonton.
Turut menarik perhatian, pemeriksaan kesihatan percuma disediakan di Gelanggi 1 yang mendapat sambutan baik terutama dalam kalangan warga emas dan penduduk setempat.
Turut hadir memeriahkan acara ialah Setiausaha UMNO Bahagian Jerantut, Zainorin Abidin bersama Zairolnizam Osman yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut.

Sukan Rakyat kali ini dianggap antara penganjuran terbesar dengan penglibatan komuniti Felda di sekitar Jengka dan Jerantut.
Acara ini juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menyemarakkan warisan permainan tradisional.-SAHIH