Sukan Masjid Jengka Bermula Dengan Bowling, Bakal Jadi Acara Tahunan
Sukan Masjid Jengka Bermula Dengan Bowling, Bakal Jadi Acara Tahunan
JENGKA – Gabungan masjid di daerah ini melakar sejarah apabila julung kali menganjurkan pertandingan boling sebagai usaha menarik penyertaan kariah masjid ke arah gaya hidup sihat melalui sukan.
Qadhi Daerah Jengka, Tuan Haji Nik Ibrahim Nik Abdullah berkata, objektif utama program itu adalah untuk mengangkat peranan masjid bukan sekadar pusat ibadah dan kuliah agama, tetapi juga sebagai medan pembangunan komuniti yang menyeluruh.
“Biro Sukan yang ditubuhkan di bawah gabungan masjid-masjid ini mahu memberi nafas baharu kepada aktiviti masjid. Kita mulakan dengan boling kerana ia santai, mudah disertai semua peringkat umur dan tidak membebankan dari segi fizikal.

“Selepas ini, kita merancang memperluaskan penganjuran sukan lain seperti badminton, futsal atau ping pong bagi menarik lebih ramai ahli kariah terlibat,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup kejohanan di sini semalam.
Menurutnya, sambutan luar biasa pada edisi sulung itu membuktikan warga kariah bersedia menerima pendekatan baharu dalam mengimarahkan masjid.
“Kita mahu menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan dengan penglibatan lebih banyak masjid serta agensi penaja bagi menyediakan hadiah lebih lumayan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, inisiatif berkenaan turut membuka ruang kepada kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi menaja atau menyokong program komuniti masjid.
“Apabila ada penajaan, skala program boleh diperbesar dan memberi impak lebih luas, bukan sahaja kepada peserta tetapi juga masyarakat setempat,” katanya.

Penganjuran kali ini dianggap sebagai titik tolak kepada agenda mengimarahkan masjid melalui sukan, sekali gus memperkukuh ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan kariah.-SAHIH