SUKAN HARI MALAYSIA MERIAH DI GELANGGI 1
SUKAN HARI MALAYSIA MERIAH DI GELANGGI 1
JERANTUT – Suasana meriah mewarnai sambutan Sukan Hari Malaysia yang berlangsung di Felda Gelanggi 1, di sini, apabila ratusan penduduk termasuk golongan muda dan veteran hadir menyertai pelbagai acara sukan.
Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Hajah Norsarfinaz Mohd Azman, yang merasmikan temasya berkenaan selain menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Turut hadir, Razak Daud, Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut yang bersama menyampaikan hadiah kepada peserta, sekali gus menambah seri majlis berkenaan.
Pengerusi JKKR Gelanggi 1, Abd Rahman Ghani, berkata penganjuran program itu membuktikan semangat cintakan negara masih menebal dalam kalangan masyarakat setempat yang tidak melepaskan peluang meraikan Hari Malaysia dengan cara tersendiri.
“Paling membanggakan, anak muda dan warga emas sama-sama turun padang menyertai acara sukan yang diatur. Ia bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah menghidupkan suasana kampung dengan aktiviti bermanfaat,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Pelbagai acara menarik dipertandingkan termasuk bola sepak, bola jaring, tarik tali, futsal dan sukan rakyat seperti lumba karung serta boling kelapa. Kehadiran penonton yang memberi sokongan turut menambah keceriaan suasana.
Sementara itu, Hajah Norsarfinaz berkata, semangat kesukanan yang ditunjukkan penduduk wajar dicontohi kerana ia selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat sihat, bersatu dan berdaya saing.
“Acara sebegini harus diteruskan setiap tahun kerana ia bukan sekadar aktiviti riadah, malah platform penyatuan komuniti Felda. Saya berharap lebih ramai generasi muda tampil ke hadapan bagi mengisi program kerohanian, kemasyarakatan dan kesukanan,” katanya.
Menurutnya, semangat gotong-royong yang dipamerkan penganjur dan peserta jelas menunjukkan nilai perpaduan yang menjadi asas kekuatan negara, seiring dengan erti sambutan Hari Malaysia.-SAHIH