SUHAKAM GESA SIASATAN TERPERINCI MAJIKAN PUKUL PEKERJA BERPUASA
SUHAKAM GESA SIASATAN TERPERINCI MAJIKAN PUKUL PEKERJA BERPUASA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan terperinci terhadap majikan yang memukul dua pengawal peribadinya kerana berpuasa.
SUHAKAM dalam satu kenyataannya, berkata individu berkenaan wajar didakwa atas tuduhan menyerang, memukul dan melakukan kesalahan undang-undang yang lain.
“Selaras dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa ‘setiap orang mempunyai hak untuk menganuti dan mengamalkan agamanya’.
“Amat penting bagi menghormati kebebasan setiap orang bagi menjalankan tuntutan atau kepercayaan melalui anutan, amalan dan ajaran agama mereka. Selain itu, tiada sesiapa yang boleh dipukul, dihina atau diaibkan kerana melaksanakannya,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan dua pengawal peribadi mendakwa ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan mereka yang bukan beragama Islam.
Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa ditampar dan dimarahi apabila memberitahu mereka berpuasa selepas ditanya sama ada menunaikan ibadat itu ketika berada di lobi Residensi One KL, Jalan Pinang.
Katanya, majikan perlu menghormati kebebasan agama atau kepercayaan termasuk hak pekerja untuk mengakui,menzahirkan kepercayaan dalam bersembahyang, perayaan, amalan dan ajaran agama mereka walaupun di tempat kerja.
“SUHAKAM dengan tegas menggesa setiap sektor atau industri untuk memastikan langkah sewajarnya diambil bagi menghalang dan menghapuskan segala bentuk sikap tidak bertoleransi terhadap agama, ketidaksamaan dan diskriminasi.
“Kita perlu menyemai budaya hormat menghormati, bertolak ansur, kesaksamaan dan tidak mendiskriminasi dalam masyarakat. Setiap lapisan masyarakat mempunyai peranan untuk mewujudkan persekitaran yang saling menghormati dan meraikan kepelbagaian agama,” katanya, lapor BH ONLINE.
Beliau berkata, tindakan sedemikian sudah tentu tidak memberikan motivasi kepada pekerja untuk bekerja lebih kuat atau mempromosi persekitaran pekerjaan yang sihat.
Ia sebaliknya meningkatkan lagi persepsi negatif terhadap majikan dan syarikat di Malaysia yang tidak melindungi dan menghormati hak pekerja.