“Sudah Sampai Masa – Razak Daud Tawar Diri Tanding G7 UMNO Jerantut”
“Sudah Sampai Masa – Razak Daud Tawar Diri Tanding G7 UMNO Jerantut”
JERANTUT – “Saya bukan orang baharu dalam perjuangan ini, sudah tiba masanya saya memikul amanah yang lebih besar demi memperkasa UMNO Bahagian Jerantut.”
Itu tekad Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Tuan Haji Razak Daud, yang menawarkan diri sebagai calon G7 sempena Persidangan Tahunan UMNO Bahagian Jerantut 2025.
Berbekalkan pengalaman luas lebih tiga dekad berkecimpung dalam dunia politik sejak usia 20-an, beliau tampil membawa suara akar umbi yang mahu melihat UMNO terus mantap, relevan dan dipercayai rakyat.
“Saya lahir daripada UMNO. Sejak muda lagi saya turun padang, angkat bendera, edar risalah, dan gerak bersama jentera. Hari ini, saya tampil bukan untuk nama, tapi demi mengangkat semula kekuatan parti,” katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar para perwakilan memberi sokongan padu terhadap pencalonannya demi membawa agenda perubahan yang lebih segar dan mendekati rakyat.
Menurutnya, G7 bukan sekadar jawatan simbolik, sebaliknya platform penting untuk memperkukuh suara bahagian di peringkat nasional serta menyuarakan keperluan sebenar ahli di bawah.
“UMNO perlu terus kuat dengan semangat Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat. Saya percaya, dengan kekuatan jemaah dan sokongan semua pihak, kita mampu bina semula keyakinan rakyat terhadap parti,” ujarnya lagi.
Dengan latar belakang yang tidak asing dalam kalangan warga UMNO Jerantut serta komitmen tinggi terhadap gerak kerja parti, pencalonan Razak dilihat mampu memberi nafas baharu kepada barisan kepimpinan UMNO di peringkat bahagian.
Persidangan UMNO Bahagian Jerantut 2025 bakal menjadi medan penting untuk menyaksikan sejauh mana barisan pelapis seperti beliau diberi kepercayaan untuk menerajui parti menuju cabaran mendatang.-SAHIH