SUBSIDI MINYAK MASAK HANYA UNTUK BUNGKUSAN 1KG
SUBSIDI MINYAK MASAK HANYA UNTUK BUNGKUSAN 1KG
KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi hari ini menjelaskan bermula November 2016, subsidi harga minyak masak hanya diberikan kepada bungkusan polibeg satu kilogram (kg).
Katanya pelaksanaan itu dibuat menerusi Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS).
GAMBAR HIASAN
“Tujuan kerajaan mengekalkan pemberian subsidi bagi minyak masak dalam polibeg satu kg adalah untuk memastikan rakyat masih boleh mendapatkan bekalan minyak masak bagi kegunaan isi rumah pada harga mampu milik iaitu RM2.50 satu kg,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.
Baru-baru ini, pengguna media sosial membanjiri platform itu dengan rungutan harga minyak masak dalam bungkusan lima kilogram dijual pada harga jauh lebih tinggi daripada kebiasaan.
Mengulas lanjut, Nanta berkata pada masa ini sebanyak 60,000 tan minyak masak bersubsidi disediakan setiap sebulan untuk diedarkan di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar dan jumlah itu mencukupi bagi kegunaan rakyat Malaysia.
Kementerian komited memastikan keberadaan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran menerusi pemantauan ke atas pengilang dan syarikat pembungkus minyak masak, mengaudit di setiap rantai bekalan minyak masak serta menjalankan pemeriksaan harian di peringkat peruncit, pemborong dan pasar raya, katanya.
“Sebanyak 60,000 tan minyak masak bersubsidi disediakan setiap sebulan untuk diedarkan di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar dan jumlah itu mencukupi bagi kegunaan rakyat Malaysia,” kata Alexander Nanta Linggi
Sementara itu, Nanta berkata sebanyak 477 premis perniagaan telah diberi amaran agar melakukan penambahbaikan segera terhadap tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka.
Premis terbabit merupakan antara 321,850 premis perniagaan yang diperiksa oleh penguat kuasa kementerian dalam tempoh pelaksanaan PKP pada 13 Januari lalu hingga semalam, katanya, menambah sebanyak 7,355 premis diberi nasihat menambah baik dan mengekalkan pematuhan secara konsisten semasa beroperasi.
Nanta berkata mereka yang gagal mematuhi SOP PKP akan dikompaun RM1,000 menurut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.