SUASANA ISTANA NEGARA TENANG
Berita Nasional
SUASANA ISTANA NEGARA TENANG
KUALA LUMPUR: Suasana di luar perkarangan Istana Negara tenang menjelang pertemuan khas Raja-Raja Melayu yang dijadualkan pada awal petang ini bagi memperincikan cadangan dikemukakan Mesyuarat Khas Kabinet berhubung isu-isu semasa.
Lebih 20 pengamal media berhimpun di hadapan Pintu 1 dan Pintu 2 istana seawal jam 9 pagi tadi dengan pergerakan yang dilihat hanya beberapa kereta diiringi anggota polis bermotosikal keluar dari istana, namun tidak diketahui destinasi mereka.
Media juga menerima jemputan dari sebuah kumpulan menggelar diri mereka Otai Reformis 98 yang memaklumkan akan menyerahkan satu memorandum kepada pihak istana pada jam 10 pagi tadi, namun belum kelihatan kehadiran mereka setakat ini.
Istana Negara menjadi tumpuan kerana Raja-Raja Melayu dijangka mengadakan pertemuan khas hari ini, bagi membincang dan memperincikan cadangan dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat lalu.
Menurut sumber, pertemuan khas Raja-Raja Melayu itu dijangka diadakan pada petang hari ini.
Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan Al-Sultan Abdullah berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu pada masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan Muhyiddin.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak memperincikan butiran cadangan dibentangkan oleh Perdana Menteri kepada Seri Paduka.
Namun, spekulasi yang tercetus mengandaikan ia antara lain adalah syor kerajaan untuk melaksanakan darurat atau prorog Parlimen, mengambil kira keadaan semasa penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan di negara ini.
Prorog adalah pemberhentian atau penggantungan sidang Dewan Rakyat dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir persidangan terdahulu.
Sumber: BH Online